Pihak ingin tuntut harta Najib, Rosmah boleh ke mahkamah 14 Dis


shadow

Pihak ketiga berkepentingan yang ingin menuntut harta berupa ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan serta 27 buah kereta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta 16 pihak lain, boleh hadir di Mahkamah Tinggi ketika pengurusan kes itu pada 14 Dis ini.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin ketika dihubungi Bernama berkata sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagi kehadiran mana-mana pihak ketiga yang ingin menuntut harta sitaan kes itu, namun ditangguhkan ke tarikh baharu berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pihak kami telah dimaklumkan oleh mahkamah mengenai tarikh baharu pengurusan kes itu semalam,” katanya yang turut memaklumkan warta notis kepada pihak ketiga dikeluarkan sekali lagi oleh mahkamah selepas pendakwaan meminda notis usul berhubung pelucutan hak berkenaan.

Permohonan pengeluaran notis untuk pihak ketiga itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membolehkan pihak ketiga hadir di mahkamah secara sendiri atau melalui peguam bagi memberikan tunjuk sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Pihak pendakwaan sebelum ini menfailkan notis usul bagi memohon untuk melucut hak terhadap harta-harta tersebut dan menamakan Najib; Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib; Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib); Mohd Kyizzad Mesran; Senijauhar Sdn Bhd; Aiman Ruslan; Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho); Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isterinya Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenama Nissan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain sebidang tanah di Tanjung Bungah Pulau Pinang.

– Bernama

Tinggalkan komen anda