Staf UOB Jalan Raja Laut positif Covid-19


shadow

 United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) mengesahkan seorang kakitangan di Menara UOB, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, disahkan positif Covid-19, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, UOB Malaysia berkata kakitangan itu tidak berhadapan dengan pelanggan dan kali terakhir berada di pejabat pada 21 Oktober lalu sebelum mula bekerja dari rumah.

“Beliau mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik tempatan selepas menunjukkan gejala seperti selesema sebelum diuji positif virus itu.

“Sebagai sebahagian daripada proses pengesanan kontak, kami menghubungi semua pihak yang berhubung rapat dengan kakitangan tersebut untuk menjalani ujian saringan dan diminta menjalani kuarantin diri,” katanya.

UOB Malaysia memberi jaminan kepada semua pihak, kerja pembersihan yang menyeluruh sedang dijalankan di semua aras dan kawasan umum terbabit di Menara UOB selaras garis panduan pihak berkuasa kesihatan.

“Kami juga ingin memberi jaminan kepada pelanggan kejadian ini tidak mengganggu perkhidmatan yang disediakan memandangkan bank melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan yang mantap,” katanya.

Sementara itu, UOB Malaysia turut mengumumkan 9 cawangannya yang ditutup sementara bermula 21 Oktober berikutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan beroperasi semula pada 2 November dengan waktu operasi lebih pendek.

“Cawangan itu adalah Jalan Imbi, Medan Pasar dan Kepong di Kuala Lumpur, Kota Damansara, Shah Alam, Ijok, Jalan Othman di Selangor manakala Tuaran dan Sandakan di Sabah,” katanya.

Semua cawangan akan dibuka dari 9.30 pagi hingga 2 petang Isnin hingga Jumaat, manakala kemudahan perbankan layan diri disediakan dari 6 pagi hingga 6 petang setiap hari.

“Kami akan terus melakukan segala usaha untuk membantu melindungi kesejahteraan kakitangan, pelanggan dan masyarakat dalam keadaan yang mencabar ini,” katanya.-FMT

Tinggalkan komen anda