Tolak Belanjawan 2021 supaya boleh dipinda, bentang yang baharu – Tun M


shadow

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak ahli-ahli Parlimen supaya menolak Belanjawan 2021 yang disifatkannya sebagai belanjawan yang hanya mementingkan kelangsungan politik pemerintah dan bukan rakyat.

Jelas Ahli Parlimen Langkawi itu, penolakan Belanjawan 2021 tidak akan menghalang penyaluran gaji, pencen dan elaun penjawat awam termasuk petugas barisan hadapan.

Ia juga tidak akan menjejaskan bantuan kewangan kepada rakyat, katanya.

Sebaliknya, menurut Mahathir, penolakan Belanjawan 2021 membolehkan kerajaan yang baharu ditubuhkan untuk membentangkan belanjawan baharu atau meminda belanjawan yang telah dibentangkan pada 6 November lalu.

Ia boleh dilakukan dalam sidang Parlimen khas dan tidak akan mengambil masa yang lama, katanya.

“(Penolakan belanjawan) akan menjadi bukti bahawa kerajaan telah hilang keabsahan  kerana ia tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk melulus belanjawan.

“Apabila ini berlaku, jika Perdana Menteri seorang yang bermaruah ia akan meletak jawatan.

“Kerana itu, proses yang mungkin boleh dipertimbang ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentu siapakah dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang ada yang mempunyai sokongan majoriti.

“Jika Yang di-Peûuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih untuk menjadi Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan yang baharu dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihan raya umum ke-15 diadakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda