Jabatan Tenaga Kerja buka 19 kertas siasatan terhadap Top Glove


shadow

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah membuka 19 kertas siasatan terhadap pengeluar sarung tangan getah Top Glove kerana tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Ia susulan sejumlah serbuan yang dibuat di asrama pekerja syarikat itu di lima negeri, iaitu Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, dan Johor pada 26 Nov.

Ketua Pengarah JTKSM Mohd Asri Abd Rahman berkata, serbuan di enam syarikat subsidiari Top Glove mendapati beberapa kesalahan dilakukan.

“Kesalahan utama adalah syarikat gagal memohon pensijilan untuk tempat tinggal pekerja daripada JTKSM berdasarkan Seksyen 24D Akta 446,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pelanggaran lain termasuk asrama dan tempat tinggal yang sesak serta keadaan dan pengudaraan yang teruk.

Top Glove menjadi perhatian setelah kira-kira 3,400 pekerjanya di Meru dijangkiti Covid-19. Pihak berkuasa kemudian menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di sana.

PKPD yang berkuatkuasa bermula 17 Nov pada mulanya dijadual tamat pada 30 Nov, tetapi telah dilanjutkan sehingga 14 Dis.

Di bawah Akta 446, majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Akta itu dipinda pada Jun lalu untuk mewajibkan majikan menjamin standard minimum dalam soal tempat tinggal, kemudahan asas, keselamatan dan kebersihan pekerja.

Kementerian Sumber Manusia memberi tempoh sehinga 31 Ogos untuk majikan mematuhi akta itu, dengan penguatkuasaan bermula 1 Sept.

Sementara itu, Asri menggesa majikan yang menyediakan tempat tinggal pekerja untuk tampil ke depan bagi mendapatkan pensijilan.

Untuk memudahkan proses itu, JTKSM telah menubuhkan enam jawatankuasa yang melibatkan persatuan majikan daripada pelbagai sektor, antaranya perkilangan, agrikultur, perkhidmatan dan pembinaan.

“Kita telah minta persatuan majikan untuk memaklumkan ahli mereka agar memohon pensijilan tempat tinggal. Pada masa sama, pasukan penguatkuasaan kita juga akan buat pemeriksaan dari semasa ke semasa,” katanya.

JTKSM menyasarkan semua majikan terlibat memiliki sijil tersebut menjelang akhir tahun ini.

Tinggalkan komen anda