Hafiz ulang-alik ke Jakarta jumpa Miss D


shadow

PENYANYI dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun menafikan kunjungannya ke Jakarta, Indonesia pada penghujung Ogos ini adalah untuk merisik wanita berusia lewat 20-an yang dikenali sebagai Miss D.

Hafiz, 35, atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun bagaimanapun berkata, dia ke sana atas urusan perniagaan dan tidak ada kena dengan soal pertunangan atau perkahwinan.

“Sebelum ini saya sudah tiga kali ke Jakarta dan insya-Allah akan ke sana lagi pada penghujung bulan depan. Tapi, bukan nak masuk merisik atau membabitkan urusan perkahwinan.

“Saya ke sana untuk bertemu rakan membabitkan perniagaan. Kebetulan, Miss D juga terbabit sama dalam projek ini, jadi dia akan ada sekali,” katanya kepada Harian Metro.

Hafiz mula mengenali wanita yang juga ahli perniagaan dan selebriti media sosial popular negara itu sejak Mei lalu.

Menurutnya, buat masa sekarang dia belum merancang untuk membawa perkenalannya dengan wanita berstatus janda itu ke fasa serius. Namun, dia mengakui mereka kerap berhubung.

“Sudah lebih tiga bulan kami berkawan. Buat masa ini, perhubungan kami tidak lebih daripada kawan biasa. Kalau berjumpa pun, apabila saya berkunjung ke sana, itu pun atas urusan kerja.

“Selebihnya, kami kerap berhubung menerusi telefon dan menghantar mesej. Komunikasi kami lebih kepada bertanya khabar, perkembangan dan aktiviti seharian. Saya tidak anggap dia mengongkong, tapi seorang yang ambil berat.

“Sekurang-kurangnya boleh juga ‘feeling’ macam orang bercinta. Lagi pula, kami solo dan tak perlu ada isu. Apabila bercakap soal kahwin, belum lagi. Saya tak nak fokus terganggu sebab tujuan ke sana adalah untuk mengembangkan perniagaan syarikat,” katanya.

Dalam masa sama, Hafiz berkata, ibu dan keluarganya tidak pernah mendesak untuk dia segera berkahwin selepas gagal dalam perkahwinan pertama dua tahun lalu.

“Mak ada terdengar berita mengenai saya dan Miss D di radio. Dia tak terkejut pun, cuma bertanya. Sebab dia faham kami masih berkawan,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda