Mamat nafi kerjaya tenggelam timbul


shadow

Walaupun kelibatnya jarang muncul di kaca TV, bekas vokalis kumpulan Exist, Mamat, mengaku dirinya masih ‘ligat’, malah tidak pernah menyepi dari dunia hiburan tempatan.

Menurut vokalis pertama Exist itu, dia sentiasa menerima tawaran menyanyi dari semasa ke semasa. Cuma, katanya, kehadiran itu sengaja tidak diuar-uarkan.

Namun, kata Mamat, dalam keadaan begitu timbul cakap-cakap belakang membabitkan andaian liar daripada segelintir pihak mengenai dirinya yang membuat dia kecewa.

“Saya tak pernah menyepi cuma menyibukkan diri dengan kerja dan pada masa sama masih terlibat dalam muzik.Iklan

“Tapi sedihlah sebab timbul cerita bukan-bukan pasal saya tanpa mereka merujuk terlebih dahulu.

“Rasa bodoh bila orang bercakap perkara tak sahih. Khabar angin tu menyatakan saya tenggelam timbul dalam industri,” katanya.

Mamat ditemui pada sidang media Konsert Exist Reunion di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Kafarah perjalanan seni

Selepas 28 tahun, buat pertama kalinya Exist bakal memuaskan kerinduan peminat mereka dengan dua konsert berkonsep reunion menggabungkan semua anggota asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar) dan Ujang (dram).

Tidak ketinggalan, seoran lagi vokalis yang pernah bersama kumpulan itu – Ezad.

Ia dijadual berlangsung pada 28 Sept ini di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert Exist Reunion itu kemudian akan berlangsung di Mes Theatre at Media Corp, Singapura, pada 5 Okt.

Mengulas lanjut, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, berkata hakikatnya dia sentiasa ada dalam dunia seni meskipun perjalanan hidupnya penuh berliku.

“Ini adalah kafarah perjalanan seni saya. Tu kuasa Allah tapi orang ramai tak boleh menidakkan apa yang benar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai konsert berkenaan, Mamat, 41, berkata wujud juga perasaan gentar untuk menjayakan persembahan berskala besar.

Katanya, anggota Exist bersetuju untuk bergabung sekali lagi demi mengubati rindu peminat.

“Peminat tak tahu aktiviti saya. Saya sertai projek kali ni kerana mahu memartabatkan boy band seperti ini dalam negara.

“Exist tak akan sama dengan band lain, ini kurniaan dari Allah untuk kami kongsi dengan peminat.

“Kami mahu apabila mereka datang ke konsert itu nanti dapat bawa pulang sesuatu yang akan diingati buat selama-lamanya,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda