Salah ke lelaki tua jodoh perempuan muda?


shadow

“BERDOSAKAH kalau orang tua dan tak kacak macam saya berjodoh dengan orang muda dan cantik?”.

Itu luahan pelakon dan pelawak, Ebby Yus, 55, apabila foto ‘perkahwinan’ yang menunjukkan dia bersama pelakon dan penyanyi, Zizi Kirana lengkap dengan busana pengantin tular di media sosial sejak semalam.

Menurutnya, dia tidak marah apabila terbaca komen warganet mengatakan bahawa wanita muda tidak sepatutnya memilih lelaki tua sebagai pasangan.

Namun, dia tertanya-tanya, apakah seseorang sepertinya tidak layak untuk berjodoh dengan orang yang lebih muda dan cantik.

“Saya tak marah dan tak kecewa. Saya maafkan semua kata warganet itu. Cumanya, adakah orang yang cantik itu, jodohnya hanya untuk mereka yang kacak dan muda?

“Semua yang berlaku adalah atas ketentuan Allah dan kita sebagai manusia tidak boleh menolak takdir sekiranya ia berlaku,” katanya kepada Harian Metro.

Menjelaskan mengenai foto yang tersebar itu, Ebby sendiri menerima pertanyaan daripada banyak pihak sejak semalam.

“Sejak semalam, telefon saya tidak henti berbunyi. Ada yang hubungi saya menerusi panggilan telefon, ada yang menghantar WhatsApp dan ada juga yang menghantar mesej di Instagram.

“Foto ini adalah foto yang diambil di set penggambaran program komedi Jenaka Kampung Kalut (JKK) yang disiarkan di TV3. Ia diambil atas permintaan penaja yang menaja pakaian serta pelamin untuk set itu.

“Jadi, apabila ia dimuat naik oleh saya dan beberapa rakan, ia mula tular. Saya pun padam foto itu di Instagram kerana tak mahu berlaku salah faham,” katanya.

Ebby juga menitipkan ucapan terima kasih buat peminat yang sentiasa mendoakan supaya dia ditemukan dengan jodoh baik.

“Kepada yang mendoakan, saya ucapkan terima kasih. Sebagai manusia, tentunya kita semua mahukan pengakhiran yang baik dalam hidup.

“Seandainya Allah sudah tetapkan bahawa penghujung hidup ada bersama wanita yang mengisi rumah tangga, saya terima,” katanya.

Terbaru, Ebby masih bersama produksi JKK dan terbabit dalam beberapa penggambaran bersama produksi yang menerbitkan program di YouTube.

-myMetro

Tinggalkan komen anda