Ajak contohi Johan


shadow

MELIHAT kebahagiaan rumah tangga dan rezeki murah diperoleh rakan seangkatannya, Johan Raja Lawak membuatkan pelawak dan pengacara, Ajak Shiro mengambil pendekatan utamakan keluarga.

Ajak atau nama sebenarnya, Mohamad Hanaffi Razak, 33, berkata, dia amat kagum melihat Johan yang sentiasa ada masa bersama keluarga walaupun sibuk dengan kerja.

“Saya suka melihat cara Johan dalam menguruskan karier dan keluarganya. Dia seorang ketua keluarga yang saya anggap boleh dijadikan contoh.

“Nak kata sibuk bekerja, memang jadualnya agak padat, tetapi Johan sentiasa ada masa yang cukup untuk diluangkan bersama anak-anak,” katanya.

Ajak berkata, cara Johan menjadi inspirasi kepadanya yang mana biar sibuk dengan kerja sekali pun, namun kebahagiaan keluarga harus diutamakan.

Mengulas bahawa pelawak dikatakan begitu menjadi perhatian wanita, Ajak tidak menafikannya kerana dia juga sering menerima mesej peribadi di laman sosial.

“Kalau nak kata ‘saham’ pelawak agak tinggi untuk jadi perhatian wanita, ada benarnya. Ini kerana saya pun tidak terkecuali cuba digoda.

“Namun, saya lebih selesa tidak melayan kerana akaun Instagram diurus isteri. Malah, segala mesej diterima itu biasanya isteri akan membacanya dulu.

“Kemudian, baru dimaklumkan kepada saya ada wanita mahu berkenalan,” kata Ajak yang selesa berterus terang dan tidak berahsia dengan isterinya.

Ditanya tidakkah dia berasa dikongkong, Ajak berkata, lebih baik berterus terang dengan pasangan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Sebab itu saya selesa berkongsi akaun media sosial dan kata laluan sama dengan isteri. Bagi saya, penting untuk bersikap telus dalam perhubungan.

“Saya tidak mahu timbul perasaan tidak percaya dengan pasangan. Apatah lagi, kami sudah memiliki anak dan sewajarnya menunjukkan contoh yang baik,” katanya.

Ajak yang mendirikan rumah tangga dengan Nur Afifah pada 2009 berkata, dia bersyukur isterinya sangat memahami cabang kerjaya seni diceburi.

“Pada saya, dalam hubungan suami isteri termasuk anak-anak harus diberi perhatian pada komunikasi. Justeru, saya dan isteri selesa berkongsi.

“Setakat ini, saya gembira rumah tangga kami dapat dikemudi dengan baik. Malah, kebahagiaan dibina sudah lengkap dengan kehadiran tiga cahaya mata,” katanya.

Ajak kini aktif dalam pengacaraan menggalas tanggungjawab sebagai hos Melodi di TV3 setiap Ahad dan terbaru, mengacarakan program Raja Lawak Junior (RLJ) di Astro bersama Ain Edruce.

-myMetro

Tinggalkan komen anda