Asah bakat anak muda


shadow

TIGA hari penuh berinspirasi. Itu yang dapat disimpulkan dalam acara meraikan kesenian, Festival Anak Muda 2019, baru-baru ini.

Acara khusus untuk anak muda yang diadakan di Balai Seni Negara itu berjaya menarik lebih 15,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung.

Menurut Kurator Balai Seni Negara, Intan Rafiza Abu Bakar, acara berkenaan dianjurkan Balai Seni Negara dan mendapat sokongan serta kerjasama kumpulan anak muda Rantai Kolektif dan Selangor Youth Community (SAY).

“Program ini bertujuan mengetengahkan komuniti anak muda tempatan yang kini pesat bersaing dalam meningkatkan ekonomi negara melalui beberapa produk dan kesenian.

“Pelbagai aktiviti dan program dengan pengisian yang bukan sahaja dalam bentuk hiburan tetapi bersifat pendedahan serta pendidikan,” katanya.

Malah pihaknya berharap acara berkenaan dapat memberi inspirasi, menarik perhatian dan mengajak pemain muda industri seni tanah air untuk bersama menyemarakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020 serta Kuala Lumpur Biennale 2020 tahun hadapan.

Selain rujukan komersialisasi dalam membangunkan jati diri anak muda tempatan katanya, beberapa program sokongan dan aktiviti dirancang untuk menjayakan festival berkenaan.

“Festival ini merangkumi program Pekan Sari Seni, Rewang Idea, Ronggeng Kita dan Lontar Kata.

“Pekan Sari Seni adalah bazar seni yang memberi ruang kepada usahawan muda seni memasarkan produk secara terus kepada pengguna, ruang kepada gerakan komuniti seni berkempen mengenai aktiviti komuniti dan jualan makanan dari ‘foodtruck’ (kendera saji).

“Terdapat 40 tapak ‘booth’ (reruai) ditawarkan kepada usahawan dan seniman muda dalam festival ini.

“Rewang Idea pula adalah program bicara dan bengkel seni yang dirancang berkaitan konteks platform Biennale, arkib dan data terbuka berkenaan seni dan kontemporari serta sesi suara anak muda berkaitan seni.

“Ia adalah ruangan khas untuk berkongsi idea dan pendapat dalam bidang seni seterusnya mencari solusi serta kaedah bagi memartabatkan selain memantapkan industri seni visual negara.

PENGUNJUNG melihat produk yang dijual.

“Antara penggiat seni yang terbabit ialah Amir Zainorin, Bayu Uotomo Radjikin, Anni Jael Kwan dan ramai lagi.

“Selain program bicara seni, pengunjung berpeluang merasai pengalaman menyertai bengkel seni. Antara bengkel seni yang diadakan adalah bengkel ‘Tugu Kita’ dalam menghasilkan karya seni terkini Sharon Chin untuk Singapore Biennale 2019; Bengkel Alam dan Animasi ‘stop motion’ oleh Symbiosis Alchemy & Tokok Tumbuh, Seni Gubahan Kokedama dan pelbagai lagi.

“Manakala program Ronggeng Kita adalah persembahan muzik daripada 32 band muzik indi, ‘underground’ dan tradisional sepanjang tiga hari.

“Program Lontar Kata pula ialah bacaan puisi oleh penyajak tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, Festival Anak Muda dirancang untuk memberi peluang dan pendedahan kepada anak muda mengembangkan dan mempromosikan kegiatan seni mereka selaras dengan hasrat dan fokus kerajaan memperkasakan Iltizam Anak Muda.

“Ini adalah satu komitmen kerajaan dan ditunaikan oleh melalui agensinya. Balai Seni Negara sentiasa menyokong dan menggalakkan usaha untuk memperkasakan anak muda.

“Satu daripadanya adalah melalui program YAE! (Usahawan Seni Muda) yang mana bukti komitmen Balai Seni Negara dalam membantu dan memberi peluang serta menyediakan platform untuk anak muda dalam perkembangan seni mereka,” katanya.

Festival itu dirasmikan Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Rashidi Hasbullah yang mewakili Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

-myMetro

Tinggalkan komen anda