Gilap skil lakonan


shadow

LEBIH sedekad berada dalam industri hiburan bukan alasan buat pelakon Fasha Sandha berasa hebat dan sempurna setiap kali muncul dalam drama atau filem.

Sebaliknya, Fasha, 35, atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan mengakui sentiasa mencari kelemahan dan kekurangan dalam lakonan yang dipersembahkan.

Bagi Fasha, itu cara yang dipraktikkan bagi memperbaiki mutu lakonan pada masa akan datang sekali gus menjadikan dia sentiasa mendapat ilmu baharu.

Apa yang pasti, Fasha enggan menjadikan pengalaman berada lama dalam industri untuk bermegah dan memandang kelemahan orang lain.

“Kalau nak tahu, saya jenis yang suka menonton semula setiap lakonan dan mencari kelemahan diri.

“Daripada situ saya cuba elakkan agar tidak berlaku pada projek drama akan datang. Ini memang cara saya sejak dulu lagi.

“Sebagai pelakon tidak ada istilah puas hati dalam diri malah dalam hasil kerja sekali pun.

“Setiap hari atau apa sahaja projek saya dapat, ia adalah proses pembelajaran bagi saya,” katanya.

Jelas Fasha, antara kelemahan sering dikenal pasti adalah teknik lakonan.

“Walaupun ramai puji dan penonton memberikan maklum balas baik terhadap sesuatu watak yang saya bawa, ada ketika saya berasakan ia masih perlu diperbaiki.

“Mungkin penonton nampak okay tetapi sebagai pelakon kita pasti tahu ada kekurangan.

“Saya nampak beberapa kelemahan dalam teknik lakonan. Cuma saya simpan untuk diri sendiri sahaja.

“Saya percaya, bukan saja saya begini tapi pelakon lain juga. Mereka pun pasti akan mencari kelemahan diri sendiri apabila berlakon,” katanya.

Disebabkan itu, Fasha yang juga ibu kepada dua anak berkata, dia masih mengikuti kelas lakonan kendalian bintang veteran Fauziah Nawi.

Fasha berkata, pelakon perlu sentiasa menggali ilmu apatah lagi pada usia sepertinya.

“Apabila sampai satu peringkat usia, tenaga lakonan akan berbeza terutama ekspresi wajah.

“Jadi, kita perlu tambah ilmu dan terus gilap skil lakonan.

“Saya tak mahu sekadar buat kerja tetapi penonton tidak dapat rasakan lakonan itu.

“Bagi saya, tak rugi kalau tambah ilmu dan mengkaji kerana ilmu itu tak pernah putus,” katanya.

Watak antagonis

Perkembangan lain, Fasha yang juga isteri kepada pelakon Aidil Aziz baru muncul dalam naskhah filem televisyen (FTV) iaitu Suatukala: Timun Mas & Ijo yang disiarkan di saluran Astro First Eksklusif bermula 1 Ogos lalu.

Mengenai naskhah itu, Fasha melakonkan watak antagonis iaitu Mak Andeh dan mengaku ia sukar dibawakan.

“Sebenarnya sukar melakonkan watak Mak Andeh sebab itu bukan karakter diri sendiri. Ia watak anti hero yang jarang saya buat.

“Apatah lagi ada babak yang mana kononnya saya kekok dengan bayi dan tak suka pegang bayi.

“Sedangkan saya suka dan sudah biasa pegang bayi. Apapun, saya bersyukur pengarah banyak membantu,” katanya.

FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Fasha berkongsi keterujaan apabila pertama kali membintangi karya yang menggabungkan pelakon tempatan dan Indonesia.

“Pengalaman berlakon dengan pelakon luar bagi saya sama saja. Cuma, kali ini saya banyak babak dengan mereka. Kalau dulu dalam filem, satu babak saja.

“Bagi saya, mereka sangat profesional, menepati masa, senang dibawa berbincang dan bekerjasama. Pendek kata, tak ada masalah.

“Keserasian yang wujud antara semua pelakon membuatkan penggambaran naskhah ini berjalan lancar,” katanya.

Selain Fasha, karya arahan Syamyl Othman itu turut dibintangi Prisia Nasution, Fikry Kiki, Kishok Kumar dan Vanka.

Dalam masa sama, Fasha yang kini muncul dalam drama Semua Salah Aku di TV3 sekali lagi bakal terbabit dalam penggambaran drama bersiri 80 episod terbitan Global Station Sdn Bhd.

Drama itu menggandingkan dia dengan pelakon Azar Azmi yang akan ditayangkan di saluran Astro Prima.

-myMetro

Tinggalkan komen anda