Jangan pandang kami sebelah mata – Zamaera


shadow

KUALA LUMPUR: Penampilan lincah, seksi dan berani menggayakan fesyen ranggi, selain lagunya yang dekat dengan masyarakat membuatkan Zamaera pantas mencipta nama dalam kalangan peminat muzik hip-hop.

Memilih untuk memperjuangkan muzik yang didominasi bakat lelaki juga bukan masalah bagi penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Helly Kelly itu.

Zamaera berkata, dia mahu membuktikan penyanyi rap wanita juga mampu berjaya seperti artis lelaki asalkan ada minat dan kemahuan, disusuli kerja keras tanpa rasa jemu.

“Walaupun bilangan penyanyi rap wanita boleh dibilang dengan jari, kehadiran mereka bukan sekadar mewarnai dunia muzik.

“Mereka juga mampu memberi impak besar. Selain minat, kita kena percaya proses pembikinannya. Apabila melakukan sesuatu perkara berulang kali, lama-kelamaan kita akan sampai ke tahap profesional,” katanya yang kini mempromosikan single terbaru, Get Munni.

Lagu itu dinyanyikan Zamaera secara duet bersama rakan seangkatan, Lil Asian Thicccie.

Meskipun namanya mungkin belum sehebat beberapa penyanyi rap lelaki lain, kehadiran Zaemera tidak harus dipandang sebelah mata kerana dalam diam, dia mengumpul peminat sendiri.

“Ketika mengadakan persembahan pada sebuah acara muzik, baru-baru ini, saya terkejut apabila ramai yang tahu lagu saya, termasuk single terbaru.

“Saya masih ingat ketika membuat persembahan di China, dua tahun lalu. Melihat jumlah kehadiran penonton yang hanya lapan orang, saya jadi gusar.

“Namun, saya kuatkan semangat dan anggap di hadapan saya itu ada 8,000 penonton. Sebaik sahaja menyanyi, saya terkejut kerana mereka bukan sekadar mengenali, malah turut menghafal lagu saya.

“Ia sesuatu yang sangat membanggakan dan membuatkan saya bersemangat untuk menjadi penyanyi berjaya,” ujarnya positif.

Ditanya mengenai persaingan, gadis berusia 24 tahun ini berkata, persoalan itu tidak pernah bermain di fikirannya.

“Tidak timbul isu ingin bersaing kerana saya hanya mahu menjadi pembakar semangat kepada penyanyi wanita di luar sana yang ingin melakar langkah sebagai bintang rap.

“Mereka boleh melakukannya jika itu yang mereka inginkan. Saya bertuah mendapat bimbingan daripada Joe Flizzow, apabila bernaung di bawah label Kartel Records.

“Bersama mereka juga, saya belajar mengenai pembikinan lagu dan kerja di belakang tabir. Guru saya ialah SonaOne. Saya turut meminta bantuannya bagi kerja susunan muzik lagu Get Munni,” katanya.

Tinggalkan komen anda