Kes pekerja imigran beri pengajaran – Nadya Syahera


shadow

PELAKON Nadya Syahera lega kes pendakwaan terhadap suaminya Mohd Hafizul Md Nawi atas tuduhan membenarkan imigran haram tinggal dalam sebuah premis dipermudahkan dan hampir selesai.

Nadya, 25, berkata pengalaman itu bagaimanapun memberi pengajaran besar buat dia serta suami terhadap pengurusan pekerja dan lebih berhati-hati pada masa hadapan.

“Sebenarnya dengan apa yang berlaku ini, saya dan suami banyak belajar contohnya lebih peka dalam pengurusan pekerja. Sememangnya perlu ada permit kalau ambil orang luar.

“Kami terima apa yang terjadi ini dan memang salah kami. Tapi, pasti di sebalik kesilapan ini ada pengajaran dan hikmah terbaik untuk kami,” katanya.

Semalam, suaminya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan membenarkan imigran haram tinggal dalam sebuah premis.

Mohd Hafizul didakwa sengaja membenarkan tujuh imigran haram masuk dan tinggal di sebuah premis di Shah Alam pada jam 10.10 malam, 20 Februari lalu.

Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Noor Asfihan Abdul Wahid mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan) 2002.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM30,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap warga asing yang dibenarkan berada dalam premis.

Terdahulu, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah supaya menangguhkan keputusan hukuman pada tarikh lain di atas alasan anak guamnya tidak mempunyai cukup wang.

Hakim Saifulakmal Mod Said kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 26 September ini untuk tarikh jatuh hukum.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh berkenaan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda