Proses pembelajaran tak pernah terhenti


shadow

PENYANYI dan pelakon popular, Datuk Awie, 51, tidak pernah mendabik dada apabila dilabel artis serba boleh, sebaliknya mahu terus mempelajari selok-belok industri hiburan tanah air.

Bermula sebagai penyanyi Wings pada 1987, Awie kemudian mengorak langkah dalam bidang lakonan. Kini Awie turut dilabel sebagai pelakon komedi berbakat, malah dia turut berbakat sebagai pengacara.

“Untuk menjadi artis, tiada sesiapa pun boleh mengatakan dirinya hebat. Dalam industri hiburan ini, kita perlu sentiasa belajar dan menerokai lebih banyak ilmu,” katanya.

Penyanyi Wings ini berkata, proses pembelajaran tidak pernah terhenti walaupun dia sudah ada sedikit pengalaman.

“Apabila ada bakat, ia perlu digilap melalui pembelajaran dan latihan berterusan. Jika kita mahu menimba ilmu, insya-Allah ada kejayaan. Untuk artis baharu, inilah resipinya dan paling penting perlu sentiasa rajin, disiplin serta jujur,” katanya.

Awie turut menzahirkan penghargaan buat peminat yang memberikan sokongan sepanjang 32 tahun dia berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.

“Tanpa peminat, saya bukan sesiapa. Semuanya bermula daripada peminat dan kemahuan untuk lebih berjaya,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya muziknya pada era 1980-an dan 1990-an, Awie berkata, keadaan ketika itu terlalu sukar.

“Waktu itu tiada media sosial, yang ada hanya radio, televisyen dan surat khabar. Sebagai penyanyi, kami perlu masuk ke kampung, kawasan Felda dan ladang untuk mencari peminat.

“Usaha itu dilakukan sendiri untuk memberitahu kewujudan kami sebagai artis, menarik masyarakat membeli album dan menghadiri konsert.

“Dahulu kami bukan saja berbekalkan bakat tetapi semangat yang kukuh, kebolehan, kerajinan dan latihan secukupnya bagi mengadakan persembahan.

“Tidak hairan jika kualiti lagu dulu berada pada tahap terbaik kerana semuanya bermula dengan susah payah,” katanya.

Bagi Awie, artis baharu pada masa ini menikmati pelbagai kemudahan untuk mempromosikan karya masing-masing.

“Artis sekarang ramai yang bagus dan mereka perlu mendapatkan ‘killer point’ atau aura untuk berkarya,” katanya.

Pada masa sama, Awie berterima kasih kepada peminat yang terus meminati penyanyi dan pelakon lama dan ia adalah petanda positif.

-myMetro

Tinggalkan komen anda