Zul Ariffin tolak jika syahadah bakal isteri dilafaz kerana terpaksa


shadow

Pelakon Zul Ariffin mengaku bukan mudah apabila dia merancang untuk menamatkan zaman bujangnya tahun depan dengan wanita bukan Islam.

Justeru, kata aktor berbadan kekar itu, sebelum menikahi wanita berkenaan, terlebih dahulu dia perlu mempersiapkan dirinya ke arah ‘dunia’ baru yang berbeza daripada sekarang.

Menurutnya, seboleh-bolehnya dia ingin pengalaman berrumah tangga yang dibina suatu hari nanti akan mengikut apa yang diharapkan.

“Sebelum nak membimbing dia ke arah kebaikan, saya kena jadi lebih bagus. Sekarang saya sedang membuat persiapan ke arah itu.

“Doakan semoga semuanya berjalan dengan baik. Saya nak rumah tangga yang bakal dibina nanti mengikut apa yang saya harapkan,” katanya dipetik Harian Metro.

Pelakon filem Sangkar itu juga berkata, dia tidak mahu bakal isterinya itu memeluk Islam kerana paksa atau disebabkan faktor lain, kecuali dengan niat yang ikhlas.

“Jika dia berniat memeluk Islam sebab nak berkahwin dengan saya, perkara itu tidak akan berlaku kerana saya tidak izinkan.

“Saya sudah jelaskan perkara ini kepadanya,” kata Zul.


Baca Dua ‘per’ tentang Hantu Kak Limah


Bagaimanapun, pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu enggan berkongsi maklumat mengenai siapa wanita terbabit, sebaliknya menjelaskan individu itu bukan dalam kalangan selebriti.

“Pilihan sudah ada, cuma saya akan kongsikan siapa orang itu apabila sudah sampai waktunya nanti.

“Tidak perlu teka siapa gerangan wanita itu, nantikan berita itu tahun depan,” katanya.

Zul, 32, berkata dia seorang lelaki yang memandang perkahwinan dari sudut berbeza dan sebab itulah perlu bersedia sebelum menempuh fasa berumah tangga.

“Saya tidak mahu perkahwinan menjadi huru-hara jika saya tidak bersedia. Kalau saya berkahwin nanti saya nak berubah terus.

“Saya nekad untuk menjadikan perkahwinan sebagai satu tanggungjawab berat yang perlu saya galas.

“Sebaik melangkah ke gerbang perkahwinan saya akan tinggalkan segala apa yang tidak baik sebelum ini,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda