Cukup-cukuplah menyamar, buat fitnah – Wan Maimunah


shadow

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Wan Maimunah, 66, kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab terus menyamar sebagai dirinya di laman sosial Instagram (IG).

Bintang air mata itu berkata, dia terkejut apabila menerima paparan skrin ‘kenyataan’ dirinya berkaitan tindakan dua usahawan kosmetik, yang menerima kritikan warganet, gara-gara mempermainkan namanya menerusi sebuah video, baru-baru ini.

“Saya tidak pernah membuat apa-apa kenyataan berhubung gurauan mereka. Akaun IG palsu itu memuatkan gambar kononnya saya bersedih apabila dihina dan dipermainkan. Sedangkan, saya hanya ketawa melihat telatah mereka dalam video itu. Saya tidak terasa, jauh sekali melihat video itu sebagai penghinaan.

“Saya tahu, mereka suka berseloroh… Tidak salah mereka melakonkan semula watak saya. Malah, saya bersyukur orang hebat seperti mereka mengingati saya.

“Saya harap, kedua-duanya tidak berkecil hati. Kenyataan yang dikeluarkan dalam laman IG palsu itu bukan kata-kata saya,” katanya.

Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH untuk lima tahun berturut-turut sejak 1992 itu berkata, dia tidak tahu siapa dalang di sebalik akaun palsu terbabit.

“Saya sedar mengenai kewujudan laman IG ini, sejak tahun lalu. Sudah banyak kali juga saya membuat teguran, tetapi tidak dihiraukan.

“Tahun lalu, IG palsu itu memuatkan status kononnya saya terkilan apabila nama digugurkan daripada sebuah projek drama 24 episod, dengan alasan tidak sihat. Sedangkan, saya tidak pernah menerima tawaran seperti didakwa. Peminat pula mempercayai kononnya saya dianiaya pengarah dan syarikat produksi,” katanya.

Wan Maimunah berkata, dia percaya penyamar yang menggunakan identitinya adalah orang dekat dengannya.

“Melihat status dan gaya bahasa dalam IG palsu itu, ia tidak ubah cara perbualan saya. Berikutan itu, ramai yang percaya IG palsu berkenaan adalah milik saya.

“Jauh di sudut hati, saya percaya, orang yang menyamar itu rapat dengan saya. Jika tidak, masakan dia tahu cara dan gaya saya berbual? Apapun, saya tidak marah, tetapi cukup-cukuplah menyamar sebagai diri ini. Tidak elok menipu peminat saya dan membuat fitnah,” katanya.

Tinggalkan komen anda