Jamal ‘guna’ Wany Hasrita untuk tarik orang muda


shadow

Selepas lebih 10 tahun tidak merakam sebarang lagu, Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah, mengakui dia perlu berbuat sesuatu bagi mengembalikan kegemilangannya.

Justeru, kata Jamal, antara langkah diambil bagi memudahkan proses itu ialah berkolaborasi dengan artis muda agar dia tidak ketinggalan daripada perkembangan semasa.

Menurutnya, atas alasan itu, dia kembali mempertaruhkan single baru bergenre tradisional kontemporari, Belenggu Rindu, secara duet dengan Wany Hasrita.

“Selain penyanyi, pencipta dan penggubah lagu Belenggu Rindu pun muda.

“Bagi seorang artis veteran dalam industri, ini salah satu langkah untuk terus kekal relevan dan mencuri sedikit perhatian.

“Kita tengok hasilnya nanti macam mana,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran di Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Penyanyi Mati Hidup Semula itu juga tidak kisah seandainya keputusan merakamkan lagu dengan Wany Hasrita, 26, akan dilabel kemudian hari sebagai menumpang popularitinya yang ada.

Memetik nama penyanyi baru, Hael Hussaini, dan komposer Ezra Kong – yang menghasilkan lagu seperti Permana nyanyian Siti Nurhaliza dan Assalamualaikum (Faizal Tahir) – Jamal berkata tidak ada salahnya untuk artis veteran menumpang pada bakat mereka.

Masuk kelas vokal

Bagitu juga halnya, kata Jamal, mengenai Wani Hasrita, yang sedang meningkat ketika ini.

Namun, sebelum menyiapkan lagu berkenaan, Jamal, 60, menetapkan syarat untuk seseorang penyanyi sekiranya mereka ingin berduet dengannya.

Katanya, kaedah itu perkara lazim dipraktikkan sejak dia menghasilkan lagu duet dengan penyanyi terdahulu seperti Fauziah Ahmad Daud, Siti Sarah, Francissca Peter, dan M Nasir.

“Untuk Belenggu Rindu pun begitu, saya tak nak Wani Hasrita bersama, cuma ada jurutera bunyi saja kerana perlu memberi fokus selain tidak mahu gugup,” katanya.

Sementara itu, Wani Hasrita – atau nama penuhnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah – diminta mengulas pengalaman menjalin kerjasama dengan seorang penyanyi yang lebih berpengalaman seperti Jamal.

Katanya, sebagai langkah persediaan, dia masuk ke kelas vokal supaya dapat memberikan hasil kerja yang memuaskan.

“Sebelum tu memang teruja nak berduet sama, tapi apabila dah dapat persetujuan saya mula risau sebab nak menyanyi dengan bertaraf yang legenda seperti abang Jamal.

“Tapi saya ambil tu sebagai penguat semangat dan belajar vokal agar bila menyanyi tak nampak seperti orang yang sangat baru dalam industri,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda