Berdebar buat persembahan


shadow

PEMAIN gitar Sweet Charity, Rosli Mohalim, 65, mahu memberikan persembahan bertenaga menerusi Konsert The Legend 40 Tahun Rosli Mohalim di Panggung Asia, Gombak, Selangor pada 29 November ini.

Rosli ketika ditemui berkata, dia berdebar menantikan detik itu dan berharap penganjuran berkenaan dapat melepaskan kerinduan terhadap 700 peminatnya.

Katanya, konsert anjuran Semangat Zaman Music Entertainment bakal menyaksikan dia mempersembahkan 16 lagu yang pernah dihasilkan.

“Saya berazam memukau peminat melalui petikan gitar yang mempesona. Rasanya sudah lama tidak bertemu peminat dan inilah masanya,” katanya pada sidang media penganjuran konsert itu di Plaza Damas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Rosli, persembahan bermula jam 9 malam hingga 11 malam itu diserikan dengan nyanyian Zamani, Yabang Khalifah, Ameng Spring, Yazz Abdullah, Ammy Fara dan Zetty Rashid.

“Konsert ini membawa penampilan khas penyanyi jemputan iaitu Bob Sentuhan Busker yang terkenal menerusi persembahan jalanan di sekitar Bukit Bintang dan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.

“Malah, Zamani buat pertama kali akan menyanyikan lagu Aku Ingin Berkata dan Sejuta Wajah yang kebiasaan penyanyi itu menghiburkan peminat melalui lagu Slam,”katanya.

Pada konsert itu nanti, Rosli membawa lagu seperti Teratai, Kamelia, Jangan Tunggu Lama-Lama, Zakiah, Di Mana Salahku, Satu Malam, Jangan Laju-Laju, Terasa, Mawar Merah dan Nafas Cinta.

Dalam pada itu, empat lagu baharu ciptaan Rosli akan dilancarkan iaitu Ingkar dan Racun nyanyian Yazz serta Hilang Gelap dan Negara Tercinta nyanyian Bob.

Rosli juga memberikan bonus kepada peminat apabila mempersembahkan lagu Burn nyanyian asal Deep Purple.

Menurut Rosli, dia memiliki 20 lagu dalam simpanan yang belum dikomersialkan dan bersyukur apabila Semangat Zaman mahu membantunya.

“Saya mengimpikan menerbitkan album solo dan berharap ia menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Semangat Zaman, Ayob Abd Majid berkata, konsert itu bertujuan mengenang jasa dan sumbangan Rosli dalam industri muzik tanah air.

Katanya, penganjuran itu mendapat kerjasama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) dengan pihaknya turut menyalurkan sumbangan kepada Tabung Bekas Wartawan Hiburan Utusan Malaysia.

Menurutnya, tiket boleh diperoleh melalui Tiket App selain jualan secara manual dilakukan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda