Shuib dituduh riak tayang kereta mewah


shadow

GARA-GARA kerap memuat naik gambar bersama kereta mewah di Instagram (IG), pelawak dan penyampai radio popular Shuib dikecam netizen serta dikatakan riak.

Malah, ada beranggapan Shuib, 35, atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad terikut-ikut sesetengah pihak yang sengaja mahu menayang kemewahan mereka di laman sosial.

“Bukan niat saya mahu menunjuk-nunjuk, jauh sekali riak. Cuma, saya berkongsi apa yang saya suka.

“Kalau ada tidak suka atau tidak selesa, jangan ‘follow‘ saya,” katanya ringkas.

Namun, Shuib yang juga penyampai radio Hot FM berkata, dia kini berada di kedudukan selesa.

SHUIB bersama kereta mewahnya.

Dalam masa sama, Shuib menegaskan apa yang dikongsi itu sekadar untuk memotivasikan diri dan orang lain.

“Sebelum ini orang kata saya sudah jutawan. Saya terima dan bersyukur apa sahaja cakap-cakap orang.

“Sekarang, kehidupan saya berada di tahap selesa. Jika minat sesuatu saya akan berusaha dan bekerja keras. Apa yang saya buat adalah untuk memotivasikan diri saya,” katanya.

Ditanya sama ada kereta itu miliknya, Shuib enggan mengulas lanjut. Begitu juga dengan jumlah kereta mewah yang dimilikinya.

Antara gambar yang bertebaran di laman sosial ialah Shuib bersama koleksi kereta mewah seperti Mc Laren 650s, Porsche GT4, Camaro Chevrolet, Mustang dan Dodge Challenger SRT.

Carian di laman web menunjukkan harga kereta berkenaan mencecah jutaan ringgit mengikut pasaran.

Setiap perkongsian muat naik kereta itu turut mendapat reaksi rakan artis yang rapat dengannya seperti Nabil Ahmad dan Zizan Razak.

-myMetro

Tinggalkan komen anda