Farah Nabilah kini milik Mohammed Amirul


shadow

DENGAN sekali lafaz, pelakon Farah Nabilah sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya yang juga juruterbang, Mohammed Amirul Yunus di Hotel Royale Chulan, Damansara, jam 9.04 malam tadi.

Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 27, dan Mohammed Amirul dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Daerah Petaling, Mastori Marsidi dengan berwalikan bapanya, Datuk Saipuddin Ahmad.

Pengantin perempuan menerima RM1,000 sebagai mas kahwin manakala RM77,777.77 sebagai wang hantaran berserta tujuh berbalas tujuh dulang.

Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 300 jemputan yang terdiri daripada keluarga, rakan terdekat, rakan selebriti dan media.

Pada majlis yang bertemakan Melayu Klasik, pasangan pengantin memakai busana putih rekaan pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini dan solekan oleh Khir Khalid.

“Alhamdulillah, majlis dirancang berjalan lancar dengan keberkatan hari Jumaat. Saya kini sah bergelar isteri kepada Amirul.

“Doakan semoga ikatan perkahwinan ini kekal hingga ke jannah. Saya akui tanggungjawab yang digalas kini akan semakin berat, namun Insya-Allah semuanya akan dipermudahkan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama turut berlangsung majlis pertunangan yang menyaksikan ibu Amirul menyarungkan cincin kepada Farah.

Sementara itu, majlis khatam Al-Quran dan resepsi bakal diadakan di Neo Event Hall, Damansara Perdana esok manakala majlis di sebelah lelaki pula akan berlangsung di Hotel Grand Dorsett, Subang pada 28 Disember ini.

Selepas itu, majlis resepsi sebelah perempuan akan diadakan di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur pada 5 Januari depan.

Mengimbas kembali detik perkenalan, menerusi laporan Harian Metro pada 23 Oktober lalu, Farah memberitahu mereka diperkenalkan rakan baiknya iaitu pelakon Izara Aishah sejak tujuh tahun lalu.

Farah berkata, sikap penyabar dan pandai mengambil hati keluarga membuatkan dia menerima kehadiran lelaki berkenaan sebagai pasangan hidup.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda