Mengembara solo menggembirakan


shadow

MENGEMBARA solo ke pelbagai destinasi menjadi aliran dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini terutama dalam kalangan generasi muda.

Bagi mengkaji fenomena ini, platform tempahan aktiviti dan perkhidmatan perjalanan terkemuka di dunia, Klook menjalankan tinjauan Pengembaraan Solo yang dijalankan penyelidik pasaran, YouGov.

Tinjauan global Klook 2019 membabitkan hampir 21,000 responden di 16 pasaran, mendapati 76 peratus daripada mereka pernah melakukan pengembaraan solo manakala yang lain sedia berbuat demikian.

Berdasarkan tinjauan itu, mendapati 69 peratus responden di negara ini tidak mengira usia dan jantina pernah mengembara solo atau menimbangkan aktiviti berkenaan untuk meneroka pelbagai destinasi.

Bagaimanapun, 61 peratus responden bimbang keselamatan mereka manakala 46 peratus responden memberitahu mereka ‘ takut kesunyian’ ketika pengembaraan solo.

Justeru, antara penghalang terbesar walaupun mereka sebenarnya teringin menyertai pengembaraan solo dan menikmati waktu bersendirian.

Suka bersendirian

Menerusi tinjauan itu, Malaysia turut tersenarai sebagai antara tiga negara paling ramai responden, iaitu 45 peratus memaparkan gemar mengambil gambar mesra di Instagram yang dilihat sebagai perkara wajib ketika mengembara solo.

Sebelum ini, ramai mengembara sama ada secara berkumpulan, percutian romantik, pertemuan keluarga, majlis perkahwinan atau sambutan ‘parti bujang’.

Bagaimanapun, aliran pengembaraan ketika ini sudah berubah. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih ramai memilih pengembaraan solo kerana lebih suka menghabiskan masa bersendirian.

Data tinjauan memperlihatkan menunjukkan wujud perbezaan paten percutian antara generasi pelbagai generasi.

Sebanyak 74 peratus responden dalam kalangan Generasi Z (18 hingga 24 tahun) dan 67 peratus responden Generasi Millennial (25 hingga 39 tahun), mendedahkan mereka pernah mengembara secara solo atau berminat merancang pengembaraan sedemikian.

Ramai menyangka generasi muda bersemangat mengembara, namun data Klook menunjukkan sebenarnya aliran sama turut diminati generasi lebih tua. Berdasarkan tinjauan itu, mendapati 67 peratus adalah kalangan Generasi X (40 hingga 54 tahun) manakala 63 peratus Generasi Baby Boomer (55 tahun ke atas) mendedahkan minat dalam pengembaraan solo.

Perkara wajib dilakukan

Hasil tinjauan menyaksikan 66 peratus responden wanita menjelaskan mereka pernah mengembara solo atau berminat melakukannya, manakala responden lelaki pula 73 peratus bagi aktiviti sama.

Berdasarkan tinjauan seramai 70 responden berkongsi melawat tarikan pelancongan sebagai perkara wajib dilakukan, manakala 62 peratus responden yang lahir di negara pelbagai budaya seperti Malaysia menegaskan mereka ingin mencuba makanan tempatan apabila berkunjung ke suatu destinasi baharu.

Teruja mengembara solo

Malaysia disenaraikan sebagai antara tiga negara paling ramai responden, iaitu 45 peratus mengundi mengambil gambar ‘mesra Instagram’ adalah antara perkara wajib dalam pengembaraan solo.

Sebanyak 35 peratus responden ingin bersiar-siar tanpa tujuan untuk menenangkan fikiran, manakala 31 peratus responden mengambil kesempatan bertemu kawan lama dan berkenalan dengan kawan baharu.

Tinjauan Klook mendedahkan wujudnya hubungan ‘cinta benci’ dengan pengembaraan solo.

Ketua Pemasaran Klook Malaysia, Emily Tan, berkata beliau teruja mengetahui 69 peratus responden Malaysia memiliki keinginan tinggi untuk mengembara solo.

“Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat keluar daripada zon selesa dan merancang kembara solo yang menyeronokkan, meluangkan waktu malam seorang diri melakukan aktiviti seperti melukis di lokasi pilihan,” katanya.

Tinggalkan komen anda