Kilafairy tiada masalah tayang kekasih


shadow

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Kilafairy, 27, semakin terbuka untuk berbicara soal peribadi sejak kehadiran jejaka bernama Sa’aid Umar Aiman dalam hidupnya.

Mula berkongsi mengenai perkara itu di Instagram, sejak tahun lalu, pemuda yang bekerja dalam bidang penerbangan itu mengubah pendiriannya.

Bukan sekadar memuat naik gambar bersama, penyanyi lagu Put The Word In itu juga memaut nama Instagram buah hatinya.

“Kami sebenarnya sudah saling mengenali sejak 12 tahun lalu, iaitu ketika saya di bangku sekolah lagi.

“Malah, kami juga sudah lama saling mengikuti di Instagram, cuma ketika itu masing-masing tidak pernah bersua muka atau keluar bersama.

“Dipendekkan cerita, tahun lalu kami menjadi rapat, sehinggalah sekarang,” katanya anak kepada penyanyi terkenal era 1980-an, Rohana Jalil ini.

Kilafairy dan Sa’aid Umar Aiman ketika menghadiri sebuah acara di ibu negara, baru-baru ini. – Foto ihsan Kilafairy

Menurut pelakon filem Karak itu, dia kini memilih untuk tidak berselindung mahupun berahsia mengenai perhubungan mereka kerana selesa bertemankan lelaki berkenaan.

“Saya rasa selesa dan lebih menjadi diri sendiri ketika mengenalinya. Dia juga membuatkan saya menjadi insan lebih baik. Malah, saya berasakan dapat lihat masa depan bersamanya.

“Begitupun, jika ditanya mengenai hala tuju hubungan kami, saya pastinya mengharapkan penamat yang baik. Kalau ada jodoh, ia pasti tak ke mana. Cuma, tidak manis jika saya yang bercakap mengenai bila saatnya kami bakal disatukan,” katanya.

Tinggalkan komen anda