Bob Lokman Mohon Maaf, Undur Diri Dari Dunia Seni


shadow

Tidak lagi aktif dalam dunia seni, Bob Lokman memohon maaf kepada semua kenalan industri seni jika dia ada melakukan kesilapan sepanjang aktif dahulu. Selebriti serba boleh itu turut mengatakan tidak pasti bila lagi dapat bertemu semua kenalan.

Menurut Bob, dia sudah pulang Kelantan untuk membantu isterinya berniaga nasi Arab serta menjaga anak-anak. Ujarnya lagi, dia bersyukur sekiranya dapat sampaikan salam dan permohonan maafnya kepada semua yang mengenalinya.

“Saya tidak lagi aktif dalam industri seni dan sudah pulang ke Kelantan. Jadi, tidak tahu bila lagi boleh berjumpa kawan-kawan.

“Saya sudah tua, sudah 56 tahun, duduk rumah tolong isteri berniaga nasi Arab dan menjaga anak-anak. Jadi, sekiranya dapat sampaikan salam dan permohonan maaf saya kepada semua, saya sangat bersyukur,” katanya kepada BH Online.

Berkongsikan keadaan kesihatannya, Bob meluahkan rasa syukur kerana sudah beransur pulih namun pergerakannya masih terhad. Bob berkata dia perlu menggunakan tongkat dan keadaan jantungnya masih lemah.

“Alhamdulillah, saya sudah boleh bangun dan duduk. Bengkak pada kaki sudah surut, cuma saya tidak boleh terlalu lama berdiri. Ini kerana saya terlalu lama terbaring, iaitu lebih kurang sebulan.

“Apabila berdiri, saya kena berpaut. Jadi. saya pakai tongkat. Selain itu, jantung saya masih lemah. Doktor kata saya hanya boleh menggunakan jantung sebanyak 15 peratus. Jadi, tidak boleh terlalu aktif kerana oksigen kurang.

“Disebabkan itu, ketika tidur, saya perlu menggunakan dua mesin iaitu oksigen dan bantuan pernafasan. Kalau tiada bantuan dua mesin ini, saya tidak boleh tidur,” katanya.

Dalam pada itu, Bob berkata dia dapat menunaikan ibadat puasa dengan sempurna. Namun, dia perlu duduk ketika menunaikan solat.

Sebelum ini, Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dimasukkan ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Sungai Buloh akibat masalah air berlebihan dalam badan.

Tinggalkan komen anda