Chong Wei kena ‘kencing’


shadow

Bekas jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei berkongsi kisah lucu ‘dikencing’ rakan selepas dia pulang dari Sukan Olimpik Rio, empat tahun lalu.

Perkongsian yang dibuat Chong Wei menerusi coretan pada akaun Facebook miliknya itu turut mencuit hati pelayar media sosial.

“Selepas kembali dari Rio 2016, saya minum teh tarik dengan rakan media. Dia kata, “Takpe la Chong Wei, jangan sedih. You (kamu) tau tak you atlet international (antarabangsa) yang pegang pingat perak paling banyak dalam sejarah Olimpik!”.

“Saya sedikit tersenyum dan cepat-cepat menyemak fakta itu apabila pulang ke rumah, memikirkan sekurang-kurangnya sesuatu yang betul? Cheh! Kena kencing. Kelompok 10 terbaik pun tidak! Kena monopoli oleh gimnastik dan renang,” katanya sempena sambutan Hari Olimpik semalam.

Menerusi coretan sama, Chong Wei tampak masih merindui kenangan beraksi di pentas Sukan Olimpik.

“Olimpik adalah acara sukan utama bagi setiap atlet. Sukan Olimpik pertama saya 2004, mewakili Malaysia dalam perseorangan bersama dengan Roslin (Hashim) dan (Wong) Choong Hann. Saya bernasib baik kerana ia diadakan di Athens, tempat lahirnya Olimpik.

“Rasanya tidak seperti kejohanan lain yang saya sertai sebelumnya. Saya tidak dapat berdepan pilihan utama Lin Dan. Dia tewas pada pusingan pertama. Saya tidak dapat mengatasi Chen Hong pada pusingan kedua. Taufik (Hidayat) merangkul Emas dengan persembahannya yang luar biasa.

“Sejak itu, saya rasa semua tahu apa yang berlaku. Tiga pingat perak Olimpik. Saya masih ingat setiap perlawanan yang saya bermain. Semuanya terasa seperti baru semalam,” katanya.

Tinggalkan komen anda