“Kahwin Muda Perangai Entah Apa-Apa, Lepas Tu Main TikTok Dengan Anak” – Netizen Hencap Sharifah Zarina Lagi


shadow

Tidak habis-habis netizen mengecam penyanyi lagu Langit Ke Tujuh, Sharifah Zarina. Terbaharu, video TikTok ringkas Zarina menceritakan kisahnya berkahwin muda pula menjadi buah mulut netizen.

Kata netizen, tindakan Zarina berkongsi perihal kahwin muda seakan-akan sengaja menunjuk-nunjuk.

Kata Zarina dalam video tersebut, dia dianggap seperti adik-beradik apabila keluar bersama anak-anaknya dan boleh melayan aplikasi TikTok bersama-sama.
 
Enggan membiarkan netizen terus membuat andaian, kata Zarina, tujuannya berkongsi video berkenaan bukan untuk menggalakkan orang ramai berkahwin muda sebaliknya berkongsi pengalamannya dalam berkeluarga pada usia muda.

“Mereka ada hak untuk memberikan apa saja komen. Saya sebenarnya nak berikan semangat kepada individu yang sudah berkahwin pada usia muda, bukannya nak galakkan kahwin muda. Tapi untuk elakkan berzina apa salahnya?

“Video terbabit saya cuma ceritakan pengalaman saya, apabila mengenang semula zaman saya kahwin muda, kena dukung anak ketika kawan-kawan lain masih enjoy, adakalanya saya malu.

“Tapi itu hanyalah sementara. Jangan rasa tertekan sebab selepas itu akan ada kemanisannya. Allah bagi kita adil.

“Contohnya apa yang saya peroleh sekarang, anak-anak saya menjadi sahabat sejati saya. Dahulu saya hilang kawan sebab kahwin awal, sekarang walaupun sudah 39 tahun saya ada anak-anak untuk berbincang dan tak perlu lagi mencari hidup di luar,” katanya kepada Gempak.

Bagi Zarina, perkongsian video 60 saat dalam TikTok itu bagi menjawab pertanyaan peminatnya yang sering berkongsi masalah mengenai pengalaman berkahwin pada usia muda.

“Saya tak boleh cerita pengalaman hidup dari A sampai Z dalam video pendek itu. Ia hanya perkongsian 60 saat, tapi 60 saat itulah membolehkan orang menilai saya macam-macam. 

“Tetapi saya sekarang menjadi lebih kuat… Apabila membaca komen-komen itu saya hanya tergelak. 

“Mereka ada kefahaman sendiri yang tak sama dengan saya. Ada orang melihat ia secara positif, ada juga sebaliknya,” tambahnya.

Tegasnya, kandungan video TikTok dan kontroversi yang berlaku kepada keluarganya sejak akhir-akhir ini bukanlah untuk mencari publisiti.

“Saya tak tahu kenapa tiba-tiba ramai yang beri perhatian lebih kepada saya padahal sudah lama senyap. Saya tak rasa pun nak popular balik sebab saya sudah 17 tahun dalam industri. Publisiti tidak memberikan saya apa-apa pun ketika waktu ini.

“Ia menjadi tiba-tiba, kita boleh lihat betapa kreatifnya netizen sekarang. Tetapi saya mengambil perkara ini secara positif dan memandangkan TikTok boleh memberikan aura positif kepada saya jadi, saya teruskan,” katanya.

Terdahulu, isu sambutan hari jadi anaknya, Athalia di sebuah kafe hipster di ibu kota mencetuskan salah faham pelbagai pihak.

Malah, Athalia turut terpalit dengan video viral bersama penyanyi Alvin Chong.-Gempak

Tinggalkan komen anda