11 cabang PKR di Kelantan ikrar sokongan buat Anwar


shadow

Sebahagian besar pimpinan PKR Kelantan hari ini tampil menyatakan sokongan kepada presiden mereka, Anwar Ibrahim, ketika pertembungan di antara dua kumpulan dalaman parti itu terus membara.

Dalam kenyataan media bersama, 11 daripada 14 ketua cabang di negeri itu berikrar untuk taat setia dengan Anwar.

“Bahawa kami menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh tanpa belah bahagi kepada presiden PKR (Anwar) untuk terus menjadi nakhoda utama menerajui parti tercinta ini dan juga barisan pimpinan negeri sedia ada,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat susulan pergeseran yang masih berlaku di antara Anwar dan timbalannya, Azmin Ali, sejak akhir-akhir ini.Iklan

Pernyataan sokongan secara terbuka itu diketuai Ketua PKR PKR Tanah Merah, Mohamad Suparadi Md Noor, yang kini menerajui kepimpinan negeri selepas pemilihan parti itu sebelum ini.

Sementara itu, mereka turut menegaskan komitmen untuk membantu Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

“Bahawa kami menyatakan komitmen dengan apa jua kudrat dan sedaya upaya kami untuk menyokong dan membantu presiden menerajui negara ini sebagai perdana menteri kelapan Malaysia,” kata kenyataan tersebut.

Selain Tanah Merah, cabang lain yang memberikan sokongan kepada Anwar ialah Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Machang dan Gua Musang.

Tiga lagi cabang yang tidak menyertai ikrar tersebut ialah Ketereh, Rantau Panjang dan Kubang Kerian.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda