Kemelut PKR tidak jejaskan kedudukan Dr Mahathir


shadow

PETALING JAYA: Kemelut yang berlaku dalam PKR ketika ini tidak akan menjejaskan kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kedudukan Pakatan Harapan (PH) juga masih utuh biarpun dilanda pergolakan.

“(Krisis antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tiada kena mengena dengan kedudukan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH.

“Perdana Menteri mendapat sokongan penuh daripada Ahli Parlimen termasuk sokongan bulat daripada PH. Jadi di mana kaitan isu ini dengan kedudukan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Citarasa Malaysia di Tesco Extra di sini, hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin meminta Anwar bermuhasabah dan mencermin diri sebagai maklum balas terhadap kenyataan Presiden PKR yang memintanya bercuti jika video lucah yang dikaitkan dengannya disahkan asli oleh pihak berkuasa.

Malah, Anwar ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini berkata, beliau optimis mendapat dan mempunyai sokongan diperlukan untuk menjadi Perdana Menteri.

Katanya, PH sudah membuat pendirian mengenai perkara itu dan statusnya tidak berubah, selain Ahli Parlimen PH yang turut menyokong.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, krisis yang melanda PKR ketika ini disifatkan sebagai lumrah yang mewarnai dunia politik tanah air.

“Lumrah politik itu sifatnya dinamik. Jika statik sahaja media pun tiada berita nak tulis. Pagi petang siang malam sama sahaja… surat khabar pun tak laku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan siasatan video lucah membabitkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti itu.

Sebuah portal berita melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada program Bicara Politikonomi yang disiarkan RTM melalui TV1 malam tadi, mengesahkan video lucah yang dikaitkan dengan seorang ahli politik sebagai tulen.

Tinggalkan komen anda