PKR S’gor sokong Anwar jika ada usul undi tak percaya – Amirudin


shadow

PKR Selangor hari ini mengambil pendirian berbeza dalam soal menyatakan sokongan kepada presiden parti, Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Amirudin Shari berkata PKR negeri itu hanya akan menyatakan sokongan terhadap presiden parti sekiranya wujud usul undi tidak percaya.

“Belum nampak kewajaran kenapa beramai-ramai hendak menyatakan sokongan. Tetapi tidak mengapalah, kalau semua hendak sokong, sokonglah, kami tidak ada masalah.

“Bagi PKR Selangor, kami tetap menyokong seluruh kepimpinan parti termasuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali. Tidak perlu memperbaharui tekad menyokong presiden sebab masing-masing menyokong kepimpinan.Iklan

“Kalau ada usul tidak percaya, barulah sesuatu perlu dilakukan. Namun, sekarang ini perkara itu tidak wujud,” katanya sewaktu ditemui di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, satu persatu pemimpin PKR peringkat negeri menyatakan sokongan kepada Anwar untuk mengetuai parti itu.

Isu sokongan itu timbul dipercayai selepas terdapat pergeseran pandangan di antara Anwar dan Azmin sejak sebulan lalu, ekoran tersebarnya beberapa video seks sejenis dikaitkan dengan timbalan presiden parti itu.

Antara pemimpin PKR negeri yang sudah menyatakan sokongankepada Anwar adalah dari Johor, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan terbaru, Negeri Sembilan.

Amirudin berkata beliau percaya kedudukan Anwar sebagai presiden PKR tidak akan tergugat.

Malah beliau yakin tiada usaha untuk merampas kuasa yang diberikan seluruh anggota parti terhadap Anwar.

“Presiden tidak pernah dicabar. Jadi, sokongan itu tidak pernah dipertikaikan, kenapa hendak memperbaharui sokongan,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda