Umno sedia serah kerusi tradisi kepada PAS


shadow

Umno sedia menyerahkan kerusi tradisinya kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 melalui formula agihan kerusi 50-50.

Menurut sumber, keputusan itu diambil bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan terkandung dalam piagam kerjasama antara kedua-dua parti.

“Pemimpin kanan Umno menyatakan kesediaan parti itu untuk mengagihkan kerusi sama banyak untuk ditandingi dalam PRU ke-15 nanti di mana kerusi yang sebelum ini menjadi pertembungan antara Umno dan PAS dalam PRU lalu.

“Bagaimanapun ia tidak membabitkan kerusi di Sabah dan Sarawak,” kata sumber kepada Malaysiakini.Iklan

Untuk rekod Umno dan PAS akan memeterai piagam kerjasama pada 14 Sept yang akan ditandatangani Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Pada PRU ke-14 lalu BN bertanding di 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Umno yang bertanding atas tiket BN dan PAS meletakkan semua calonnya di lapan kerusi parlimen di Terengganu, Kelantan (15), Kedah (15) dan Perlis (3) di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Selain itu PAS bertanding di 15 kerusi parlimen di Selangor, Perak (21) Johor (19) dan Wilayah (9). Ia menyaksikan pertembungan dengan calon Umno dan komponen BN.

Buat pertama kali dan sejarah negara pada PRU ke-14 lalu menyaksikan kira-kira 107 kerusi parlimen terlibat dalam pertandingan tiga penjuru, kebanyakannya membabitkan kawasan majoriti pengundi Melayu.

PAS menjadi parti kedua meletakkan calon paling ramai iaitu 160 di kerusi parlimen dan 398 calon di kerusi DUN.

Hanya babitkan kerusi semenanjung

Sumber dalam pada itu memaklumkan pembahagian kerusi hanya membabitkan kerusi di semenanjung dan tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.

Walaupun begitu, PAS dijangka hanya memberi fokus di kerusi yang dilihat memihak kepada mereka khususnya di kawasan Pantai Timur semenanjung.

“Sarawak ditandingi bekas komponen BN ataupun rakan Umno dan PAS. Bagaimanapun di Sabah besar kemungkinan PAS akan memberi laluan kepada Umno memandangkan negeri itu lebih sinonim dengan Umno.

“Kalau PAS tanding pun mungkin angkanya agak kecil di Sabah,” katanya.

Sementara itu, sumber berkata soal lambang yang akan digunakan dalam PRU ke-15 nanti juga turut dibincangkan oleh pemimpin kedua-dua parti itu.

Bagaimanapun sumber enggan mendedahkan lebih lanjut dan hanya memberi gambaran PAS akan menggunakan logo sendiri pada PRU ke-15 nanti.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda