Banyak sangat main politik, kalau setuju angkat tangan


shadow

Anggota parlimen Jeli Mustapa Mohamed hari ini menguji orang ramai dengan meminta mereka mengangkat tangan jika merasakan terlalu banyak politicking (main politik) di negara ini.

Jawapannya, hampir kesemua 600 orang hadirin dalam sebuah forum ekonomi di Kuala Lumpur hari ini, mengangkat tangan.

“Boleh kita tengok, angkat tangan… adakah terlalu banyak main politik dalam negara ini?” katanya yang menjadi pemudahcara acara itu.Iklan

Bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu itu kemudian bertanya lagi: “Siapa tidak setuju dengan kenyataan ini?”

Kali ini hanya seorang mengangkat tangan, iaitu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, yang mengundang ketawa Mustapa.

Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa bertanya soalan itu selepas peserta bertanya sama ada ahli panel dalam acara itu setuju tindakan bermain politik yang mengganggu fokus kerajaan untuk menguruskan ekonomi.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Tan Cheng Kiat sebagai panelis acara itu bersetuju dengan kenyataan itu.

“Sudah tentu, terutamanya dalam tempoh beberapa bulan ini, dengan rancangan peralihan tidak jelas dan begitu juga masa penyerahan jawatan kepada bakal perdana menteri.

“Ini ketidakpastian yang serius kerana pemimpin boleh mengubah dasar, kita tahu perkara ini,” kata Tan.

Tinggalkan komen anda