Budaya rasis dalam isu Jawi, khat bawa Malaysia ke belakang


shadow

IPOH: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak meminta rakyat negara ini menolak budaya perkauman atau rasis yang dibawa mana-mana pihak atau pertubuhan khususnya dalam isu tulisan Jawi dan khat.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, berkata budaya berkenaan tidak membawa rakyat negara ini maju ke depan, sebaliknya akan terus menarik Malaysia `ke belakang’.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya meminta orang ramai menolak Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang tidak bersetuju dan menghasut rakyat menolak pembelajaran tulisan Jawi serta khat di negara ini.

“Alasannya, ini salah satu agenda Islamisasi, (sebenarnya) saya tidak akan menjadi lebih Islam dengan mempelajari Jawi. Saya juga tidak akan menjadi Buddha atau Kristian dengan mempelajari tulisan Cina.

“(Sebagai contoh) Apek Lau tidak akan menjadi Islam dengan hanya mempelajari Jawi kerana ia adalah seni tulisan, bukan dakyah agama.

“Dong Zong memainkan sentimen rasis seperti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hafez Mubin berkata, Dong Zong menolak segala agenda pendidikan negara sebelum ini dan menjadi punca kepada perpecahan kaum di Malaysia terutama dalam isu pendidikan.

Katanya, pendidikan seharusnya menyatukan dan bukan memecah belahkan, justeru mengingatkan Dong Zong bahawa mereka perlu berhadapan dengan rakyat Malaysia yang bersama-sama dengan pendirian Dr Mahathir dalam isu ini.

Beliau berkata, pendidikan adalah tonggak utama dalam pembangunan negara dan kegagalan dalam sistem pendidikan mampu menghancurkan negara, justeru ia tidak seharusnya dipolitikkan atau `digaulkan’ dengan sifat perkauman atau elemen agama.

“Pendidikan harus berada di tengah, memastikan kebenaran atau fakta menjadi sumber rujukan setiap rakyat, manakala agenda pendidikan harus berteras acuan negara itu sendiri kerana jati diri negara penting untuk membentuk rakyat yang cinta kepada tanah air.

“Sebenarnya ramai bersetuju pembelajaran tulisan Jawi kerana ia warisan negara. Penjajah Inggeris yang menjajah Tanah Melayu ketika itu perlu belajar menulis dan membaca dalam tulisan Jawi.

“Koleksi warkah Francis Light di Muzium Perpustakaan British, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874 dan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957, semua dalam tulisan Jawi,” katanya.

Tinggalkan komen anda