Faiz ‘Mangsa’ Amalan Cai Dalam Amanah


shadow

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil, mengakui penggunaan senarai berkumpulan – yang lebih dikenali sebagai cai – sebagai punca beliau kalah dalam pemilihan parti itu bagi kawasan Permatang Pauh.

Mengambil sikap berhati-hati, Faiz mengakui isu berkenaan perlu ditangani dengan baik dan berhati-hati demi kebaikan Amanah sendiri.

“Ya, ya… betul, saya kalah juga sebab itulah (cai) tetapi saya rasa tidak elok untuk bercakap berkenaan ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Faiz gagal menempatkan dirinya dalam kelompok 15 pemimpin mendapat undi tertinggi pada pemilihan Amanah Permatang Pauh pada Julai lalu.

Seorang peguam syariah, Ahmad Tarmizi Jusoh dilantik sebagai ketua Amanah Permatang Pauh manakala guru, Yusfizal Mat Yusuf, menjadi timbalan.

Pemilihan Amanah di seluruh kawasan yang telah berlangsung sehingga bulan lepas turut menyaksikan beberapa nama besar gagal menempatkan diri dalam 15 calon teratas dalam pungutan undi. Antaranya ialah bekas menteri besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin. 

Beberapa pemimpin PAS mendakwa pemilihan kali ini digunakan oleh anggota Amanah dari kumpulan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) untuk menguasai Amanah, manakala kumpulan lain menganggap ia dipengaruhi penggunaan cai

Berbeza daripada parti politik lain, ahli Amanah mengundi untuk memilih 15 pemimpin di peringkat bahagian yang kemudian akan bermesyuarat bagi melantik seorang ketua.

Tak beri manfaat pada parti

Buat masa ini, pemuda Amanah mempunyai tiga kem iaitu kumpulan Pemuda Bangkit, Pemuda Bekerja dan Pemuda Wibawa yang mempunyai set pemimpinnya tersendiri.

Untuk rekod, pasukan Pemuda Bekerja diketuai oleh Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi menerajui kumpulan Pemuda Bangkit.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim pula mengetuai kem Pemuda Wibawa.

Bagaimanapun Faiz tidak menyertai mana-mana kumpulan atau membentuk grup sendiri.

Mengulas lanjut, Faiz menjelaskan amalan cai semasa pemilihan sebenarnya patut digunakan sebagai panduan umum sahaja dan keutamaan tetap wajar diberi berdasarkan merit seseorang calon.

Namun kata Adun Permatang Pasir di Pulau Pinang itu terdapat ramai anggota parti yang menyalahgunakan keterbukaan tersebut.

“Kecenderungan sesetengah pihak untuk mereka-reka cai tidak memberikan manfaat kepada parti.

“Sistem (amalan cai) itu tidak salah dan telah digubal awal sebelum pemilihan, namun anggota dan perwakilan perlu mengikut kehendak semangat parti dan perlu melihat merit dan kompentensi,” katanya.


Cai ialah senarai nama yang digunakan oleh anggota parti untuk memilih kepemimpinan di sesuatu peringkat parti. Ia membabitkan nama-nama calon yang dilobi untuk dipilih anggota parti.

Berbeza dengan pemilihan PAS pada 2015 yang kemudian membawa kepada tersingkirnya sejumlah pemimpin yang tidak sehaluan dengan kumpulan konservatif, caiyang digunakan Amanah tidak bersifat rahsia atau sembunyi-sembunyi.

Sebaliknya senarai pemimpin yang bertanding dan menawarkan diri untuk sesuatu jawatan diuar-uarkan kepada semua.

Bagaimanapun ia bukan dimestikan, sebaliknya bersifat pilihan. 

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, sebelum ini pernah menegaskan bahawa beliau tidak menyokong amalan cai seperti yang berlaku pada pemilihan Pemuda Amanah baru-baru ini.

Sementara itu, Faiz berharap pemilihan Amanah peringkat negeri yang bakal diadakan bulan ini berlangsung dengan lebih baik apabila undi diberikan bukan semata-mata berdasarkan cai, sebaliknya turut mengambil kira merit dan kemampuan calon.

“Merit adalah kelayakan diberikan dan kompentensi itu cara dia memimpin parti.

“Kalau seseorang itu hanya berstatus profesional tetapi tiada daya kompentensi pun tidak wajar dipilih juga.

“Jadi biarlah pilihan itu dibuat secara individu berdasarkan merit bukan berkumpulan kerana ia akan menidakkan hak parti yang boleh dipimpin oleh orang yang layak,” katanya.

Amanah telah mengadakan pemilihan parti tahun ini dengan Mesyuarat Agung Tahunan peringkat kawasan yang sudah bermula 1 Julai sehingga 31 Ogos lalu.

Pemilihan peringkat negeri pula akan berlangsung mulai bulan ini hingga Oktober, sebelum pemilihan peringkat pusat dilaksanakan Dis nanti.

Tinggalkan komen anda