Kerajaan belanja RM13.9 bilion bayar hutang 1MDB, SRC


shadow

PUTRAJAYA: Kerajaan membelanjakan RM13.9 bilion sejak 2017 hingga 2020 untuk melunaskan bayaran khidmat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ia termasuk RM2.4 bilion perlu dibayar untuk melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC bagi tahun ini.

Selain menggunakan dana awam, katanya, bayaran itu bergantung kepada dana pemulihan aset 1MDB kira-kira RM1.45 bilion setakat ini yang berjaya dikembalikan, serta kutipan derma orang ramai kepada Tabung Harapan Malaysia berjumlah RM203 juta.

Di samping itu, Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) lain membuat pembayaran balik hutang RM8.8 bilion bagi pihak 1MDB dan SRC untuk 2017 (RM6.7 bilion) dan 2018 (RM2.1 bilion).

“Pembayaran balik hutang 1MDB dan SRC itu disembunyikan oleh kerajaan terdahulu dan hanya didedahkan selepas Kerajaan Persekutuan bertukar pada 9 Mei 2018.

“Jelas sekali, pembayaran balik kerajaan untuk membiayai kerugian akibat skandal 1MDB dan SRC adalah sebahagian daripada skim penyelewengan kewangan dan salah laku ‘kleptokrasi’ kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini berkata, satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim terdahulu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara.

Guan Eng berkata, ia memerlukan banyak usaha, masa dan kewangan, di samping apa yang ditemui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang dipercayai.

Beliau menegaskan, skandal kewangan dan penyelewengan kerajaan terdahulu sama ada berkaitan 1MDB atau bukan 1MDB dianggar membabitkan kira-kira RM150 bilion.

“Kes 1MDB sahaja membabitkan RM51 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada 2039.

“Bayangkan betapa besar impak jumlah RM13.9 bilion yang perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk membiayai kerugian skandal 1MDB dan SRC, sekiranya ia dapat digunakan untuk kebajikan rakyat.

“Bagaimanapun, kerajaan ini tetap komited untuk menunaikan amanah menjalankan pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Tinggalkan komen anda