Anwar akur titah Sultan Selangor, zakat hanya untuk Muslim


shadow

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim akur dengan titah Sultan Selangor agar agihan kutipan zakat di negeri itu hanya dikhaskan untuk lapan golongan asnaf dalam kalangan umat Islam.

Anwar berkata beliau sudah berhubung dengan Istana Selangor bagi menjelaskan maksud cadangannya supaya institusi zakat memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam.

Jelasnya, cadangan beliau untuk memberikan bantuan zakat kepada bukan Islam adalah supaya agama Islam dilihat sebagai agama yang adil, berkasih sayang kepada seluruh rakyat.

“Saya dalam ucapan itu menyatakan Islam ini adalah mengenai keadilan, kasih sayang dan rahmat. Itu pandangan saya supaya benda ini dikaji, diteliti oleh mufti dan majlis agama, dan diputuskan.

“Itu saja pandangan saya. Kalau diputuskan tidak setuju, tidak apa. Tapi saya menganjurkan wacana yang segar mengenai tajuk ini kerana ada pandangan-pandangan berbeza.

“Kalau keputusan seperti mana dibuat oleh Selangor, kita patuh kerana keputusan dalam bidang kuasa majlis agama negeri dan sultan,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Jelas Anwar, cadangannya dalam satu seminar minggu lalu hanyalah untuk memberi imej yang baik kepada agama Islam

“Dalam ucapan saya bagi contoh dalam satu kampung semua orang Islam ada satu rumah Hindu. Apakah kita boleh pertimbangkan untuk melunakkan keadaan, begitu konteks dia.

“Tetapi saya terima baik. Saya cuma nak dalam Islam ini biar kita ada ihsan, ruang untuk meneruskan wacana yang sihat dan segar,” katanya.

Dalam seminar itu beliau antara lain mencadangkan tidak sesuai jika hanya masyarakat Islam dibantu dan penganut agama lain dipinggirkan dalam masyarakat berbilang kaum.

Ia disebutnya dalam seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam di Shah Alam.

Sultan Selangor kemudiannya menegaskan agihan zakat kepada golongan bukan Islam hanya dibolehkan sekiranya mendorong individu berkenaan memeluk agama Islam.

Sultan Sharafuddin turut meminta supaya isu berkaitan pengagihan zakat tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa.

Baginda juga berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan isu berkaitan dengan agama Islam untuk meraih populariti atau mengambil hati mana-mana pihak.

Tinggalkan komen anda