Hari terakhir kongres PKR diisi penggulungan MPP


shadow

Kongres Nasional PKR 2019, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Melaka (MITC) akan melabuhkan tirainya hari ini.

Menurut jadual yang dimuat naik PKR dalam laman web rasminya, hari terakhir bakal menyaksikan penggulungan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuk presiden dan timbalan Presiden.

Majlis yang bermula 9 pagi itu akan didahului dengan ucapan aluan pengerusi tetap merangkap Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kassim.

Ia akan disusuli ucapan penggulungan Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Md Akin, diikuti ucapan penggulungan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha.Iklan

Setelah itu, lima naib presiden dijadual mengambil giliran untuk menggulung, dimulai dengan Ali Biju, Chang Lih Kang, Tian Chua, A. Xavier Jayakumar dan Zuraida Kamaruddin.

Ia kemudian disusuli Setiausaha Agung Saifudin Nasution Ismail untuk menggulung ucapannya.

Kemuncak acara ialah penggulungan oleh Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Presiden Anwar Ibrahim.

Kira-kira 3,000 perwakilan menghadiri Kongres Nasional PKR ke-14, yang bertema ‘20 Tahun Keadilan: Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’.

– Bernama

Tinggalkan komen anda