Jangan hanya bergantung kepada kerusi Melayu, kata Umno kepada MCA


shadow

MCA perlu lebih berani dan bertanding di kerusi majoriti Cina daripada hanya bergantung kepada kawasan majoriti Melayu, kata Ismail Sabri Yaakob.

Naib presiden Umno itu berkata, ini adalah masa yang terbaik untuk parti komponen Cina itu memfokuskan untuk memenangi kerusi dan undi Cina selepas kemenangan besarnya di pilihan raya kecil Tanjung Piai bulan lalu.

“MCA patut bertanding di kawasan Parlimen majoriti Cina bagi membuktikan ia adalah pilihan yang terbaik untuk masyarakat Cina kerana DAP gagal membela mereka.

“Seperti mana Umno mampu pertahankan kerusi majoriti Melayu, MCA perlu lebih berani dan tidak bergantung pada kerusi majoriti Melayu,” kata Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon dalam satu wawancara dengan Oriental Daily bahawa inilah masanya untuk MCA berunding dengan Umno mengenai pembahagian kerusi susulan kemenangannya di Tanjung Piai bulan lalu.

Calon parti itu Wee Jeck Seng memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya kecil bulan lalu dengan majoriti 15,000 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September kerana komplikasi jantung.

Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi berbanding 10,380 undi oleh calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi manakala calon Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz mendapat 850 undi.

Dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar masing-masing mendapat 380 dan 32 undi.

Kemenangan itu menjadikan kali ketiga Wee mewakili kerusi Parlimen Johor berkenaan.

Ismail yang juga ahli Parlimen Bera berkata, pemimpin Umno dan Barisan Nasional tahu cara terbaik untuk pengagihan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

“Tetapi ini bukanlah masa yang terbaik untuk bincangkan perkara ini kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperkukuhkan gabungan.

“Isu pengagihan kerusi bukan hanya untuk BN bincangkan dalam kalangan pemimpinnya tetapi juga akan dibincangkan bersama sahabat baharu dalam PAS,” kata Ismail.

Ketua pembangkang itu berkata, tugas BN kini adalah untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka adalah pilihan terbaik.

“Jadi, jangan kita rosakkan momentum berhubung isu ini,” kata Ismail.

MCA, yang kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak pilihan raya 2008, bergantung sepenuhnya pada kerusi majoriti Melayu bagi memastikan kewujudannya.

Bermula dengan 31 kerusi Parlimen yang dimenangi kepada 2004 menurun kepada 15 kerusi pada 2008, dan kemudian hanya memenangi tujuh kerusi pada 2013 sebelum hanya menang satu kerusi pada pilihan raya 2018.

Kini, parti itu memiliki dua kerusi – Ayer Hitam da Tanjung Piai. Kedua-duanya adalah kerusi majoriti Melayu yang mempunyai kira-kira 58% pengundi Melayu.

Tinggalkan komen anda