Kumpulan Azmin salahkan Anwar kerana ucapan Si Kitol, Raja Mendeliar


shadow

Pemimpin PKR yang memihak kepada timbalan presiden parti itu, Azmin Ali menyalahkan Anwar Ibrahim kerana melanggar persetujuan yang telah dicapai sehingga menyebabkan mereka melangkah keluar daripada kongres parti itu yang diadakan di Melaka hari ini

Mereka berkata ucapan Anwar mengenai kisah si Kitol dan Raja Mendeliar membuka laluan kepada para pembahas lain untuk melancarkan serangan peribadi terhadap Azmin dan memecahkan perpaduan parti itu. 

Bagaimanapun, Anwar yang juga Presiden PKR berkata beliau hanya menyebut mengenai fakta sejarah.Iklan

Selepas meninggalkan kongres PKR sekitar jam 3.00 petang, kumpulan penyokong Azmin berkumpul di Hotel Ames di Ayer Keroh, di mana mereka mengadakan mesyuarat dan kemudian mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan kekecewaan mereka terhadap Anwar dan penyokong presiden aprti itu.

Azmin, yang membacakan kenyataan itu, berkata semasa pertemuan dengan Anwar pada 4 Disember, kedua-dua kumpulan mencapai termasuk komposisi pembahas adalah adil, serta tidak dibenarkan menyinggung, menyindir atau menyerang mana-mana pihak.

Azmin berkata Presiden PKR itu memberi jaminan bahawa semua pihak perlu mengikut garis panduan yang telah dipersetujui.

Bagaimanapun semasa kongres itu, beberapa perwakilan memberikan ucapan berbentuk sindiran terhadap Azmin, yang menyebabkan penyokong timbalan presiden PRK itu keluar dewan.

Azmin berkata masalah itu bermula daripada ucapan dasar Anwar.

“Harapan para perwakilan dan pemerhati supaya Ucapan Dasar Presiden memberi fokus kepada dasar dan hala tuju yang inklusif dan progresif ternyata meleset.

“Ucapan presiden yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota Keadilan,” katanya.

Si kitol dan Raja Mendeliar adalah kisah sejarah mengenai dua individu yang mengkhianati sultan Melaka sehingga negeri itu jatuh ke tangan Portugis. 

Azmin berkata pemilihan pembahas dalam kongres berkenaan juga dibuat berat sebelah.

Selain itu, katanya, majlis penganugerahan yang berlangsung pagi tadi juga provokatif dan menafikan sumbangan besar pemimpin-pemimpin PKR di peringkat akar umbi.

Hanya Tian Chua dan Mansor Othman dari kumpulan Azmin menerima anugerah berkenaan, berbanding enam dari kumpulan Anwar termasuk bekas Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail.

Azmin berkata adalah jelas Anwar gagal menunaikan janjinya.

Sehubungan itu,  kumpulan itu berkata adalah tidak munasabah bagi mereka terus berada dalam dewan kongres berkenaan untuk mendengar kenyataan berbentuk provokatif.

Ditanya sama ada mereka akan memboikot kongres itu esok, Azmin menjawab: 

“Kami tak boikot atau keluar, tetapi tak munasabah untuk kami duduk di sana dan mendengar serangan provokatif kerana ini akan menyebabkan ketegangan.”

Azmin menambah beliau bagaimanapun bukan mengeluarkan kata dua kepada Anwar.

“Dia masih ketua saya, presiden saya. Itulah sebabnya saya perlu berunding dan bercakap dengan dia, yang saya lakukan dan saya akan terus berbuat demikian, jadi tidak ada masalah, “katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di kongres itu, Anwar memberitahu pemberita bahawa beliau tidak berniat menyinggung mana-mana pihak apabil menyebut Si kitol dan Raja Mendeliar dalam ucapannya.

“Jika mereka tersinggung ia masalah mereka. Itu adalah fakta sejarah dari Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), “kata Presiden PKR itu. 

Semasa ucapan dasarnya pagi tadi, Anwar menceritakan semula kisah bagaimana Si Kitol dan Raja Mendeliar berkomplot menuduh bendahara Melaka Tun Ali sebagai pengkhianat, menyebabkan beliau dibunuh. 

Ini mencetuskan peristiwa yang membawa kepada kejatuhan Melaka.

Bagaimanapun, ucapan Anwar juga menyeru agar anggota parti itu bersatu dan tidak menyerang satu sama lain.

Secara berasingan, pengarah kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ucapan perwakilan yang kritikal terhadap kumpulan Azmin adalah reaksi terhadap pergaduhan di kongres AMK semalam.

“Perlu hormat suara demokasi dari pembahas dan perwakilan ketika kita mematuhi kesopanan. Kekecohan semalam tidak boleh diterima,”katanya kepada Malaysiakini.

Insiden pergaduhan di Kongres Pemuda PKR tercetus apabila perwakilan dan anggota yang berpihak kepada Azmin, termasuk pengerusi tetap AMK yang dipecat Mizan Adli Mohd Noor, dilarang daripada memasuki dewan kongres.

Terdahulu, dalam satu temu bual, Nik Nazmi berkata beliau antara individu bertanggungjawab memilih pembahas termasuk Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd Akin dan diketuai oleh pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata selepas pergaduhan semalam, pasukan itu menambah beberapa lagi nama supaya seimbang “dari segi kaum dan membuka lebih banyak persektif terhadap parti itu”.

Beliau berkata ucapan hari ini juga mencerminkan ketegangan dalam parti itu tetapi seimbang dari segi pro-Anwar atau pro-Azmin.

Bagaimanapun, semasa Azmin dan kumpulannya melangkah keluar meningalkan kongres, hanya dua daripada 10 pembahas yang telah selesai berucap dianggap sebagai penyokong timbalan presiden PKR itu.

Sebaliknya pembahas yang pro-Anwar mensasarkan kritikan terhadap Azmin.

Kongres PKR akan diteruskan esok dengan ucapan penggulungan oleh kepimpinan parti. Ia dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada jam 1 tengah hari.

Azmin dan naib-naib presiden parti itu dijadual berucap. Bagaimanapun Azmin dan kumpulannya tidak memberi jawapan jelas mengenai kehadiran mereka esok berikutan insiden yang berlaku hari ini.

Kumpulan Azmin juga dijadual mengadakan majlis makan malam di Kuala Lumpur esok, yang bermula pada pukul 5 petang.

Tinggalkan komen anda