Pecat Azmin? Isu itu tidak berbangkit – Anwar


shadow

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata tiada rancangan untuk memecat timbalannya Mohamed Azmin Ali buat masa ini.

Ini meskipun sejumlah perwakilan dari kalangan penyokong Azmin meninggalkan kongres semalam, selain ketidakhadiran beberepa pemimpin utama dari kalangan kem Azmin hari ini.

“Perkara ini tidak berbangkit. Ini hanya disuarakan oleh perwakilan tetapi tidak ada pimpinan yang bagi respons bersetuju.

“Saya tidak ada masalah berbincang tapi masalah yang disuarakan dengan kuat (oleh perwakilan) adalah sentimen yang mahu parti bersatu dan tidak tolak ansur dengan mereka yang dianggap menyimpang dari disiplin,” kata Anwar pada sidang media selepas Kongres PKR di Melaka melabuhkan tirai hari ini.Iklan

Ditanya sama ada Anwar memaafkan Azmin, ahli parlimen Port Dickson itu berkata: “Saya ini memang pemaaf, tapi ini bukan soal peribadi. Saya kena dengar suara dan sentimen. Tadi saya jawab, saya dengar hasrat mereka jadi kena bagi ruang sedikit”.

Anwar juga berkata bahawa ramai kalangan yang meninggalkan dewan semalam kerana tidak senang dengan ucapan perwakilan datang semula hari ini.

“Ada yang kembali, ramai yang hadir. Ramai antara mereka datang dan berkata mereka tidak bersedia untuk mengambil jalan memboikot kongres, jadi ada yang datang kembali, agak ramai,” katanya.

Ketika ditanya sama ada perdamaian masih boleh berlaku selepas ini, Anwar memetik bekas Presiden AS, John F Kennedy, yang berkata, “Janganlah kita berunding atas dasar ketakutan, tapi jangan kita pernah takut berunding”.

Tambah Anwar, proses perdamaian mestilah “terbuka” dan menegaskan bahawa beliau bersikap berdamai dalam ucapannya.

Anwar dan Azmin dilihat sempat berdamai dalam perjumpaan Rabu lalu, sehari sebelum kongres bermula, dengan kata sepakat dicapai untuk timbalan presiden PKR itu merasmikan kongres AMK.

Bagaimanapun, beberapa perwakilan yang tampil berucap di kongres semalam dilihat mengkritik Azmin, yang seterusnya menyebabkan penyokong Azmin meninggalkan kongres.

Azmin dan penyokongnya kemudian mengadakan sidang media membidas perjalanan kongres yang disifatkan menjadi medan untuk serangan peribadi.

Azmin berkata kedua-dua kem sebelum ini sudah bersetuju untuk tidak saling menyerang dan menampilkan senarai pembahas yang adil serta tidak menyakitkan hati mana-mana pihak.

Pada sidang akhbar hari ini, Anwar berkata beliau hanya mahukan para perwakilan untuk mengelakkan serangan peribadi, dan menurutnya ia dipatuhi oleh kebanyakan perwakilan.

“Tetapi jika perwakilan mengatakan mereka mahu pemimpin mematuhi disiplin dan menghormati ikrar mereka, bagaimana mahu mengawalnya?

“Apabila mereka (penyokong Azmin) keluar (dewan) maka kita telah kehilangan kawalan, tapi sebelum itu secara umumnya orang (perwakilan) masih menjaga sikap mereka dalam berucap, tetapi anda tidak boleh mengharapkan parti politik yang demokratik sekadar menjadi lidah kepada pemimpin mereka,” katanya.

Tinggalkan komen anda