Tidak rela jadi kuda tunggangan, Apandi Ali letak jawatan Lembaga Disiplin Umno


shadow

PENGERUSI Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali hari ini mengumumkan letak jawatan susulan dakwaan campur tangan pimpinan parti terhadap siasatan dan pengadilan tuduhan salah laku bekas naib presiden Hishammuddin Hussein. 

Apandi berkata beliau letak jawatan serta merta kerana tidak mahu terus menjadi “kuda tunggangan politik”. 

Beliau letak jawatan selepas mendakwa prosiding tunjuk sebab ke atas Hishammuddin, yang sepatutnya berjalan petang tadi, diarah dihentikan oleh pimpinan parti. 

“Hasil perkembangan ini, saya telah arahkan setiausaha lembaga disiplin untuk menyediakan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Umno dan berkuatkuasa dengan serta merta.

“Saya tidak rela dijadikan sebagai kuda tunggangan. 

“Maruah saya lebih penting daripada jawatan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Dalam surat bertarikh 13 Disember 2019, Lembaga Disiplin Umno meminta Hishammuddin hadir ke pejabat Umno bagi menjawab dakwaan tidak mengikut perintah parti, tidak menjalankan dasar parti, serta tidak menjaga nama baik dan maruah parti. 

Bagaimanapun, prosiding yang dijadualkan pada hari ini itu tidak dapat dijalankan tanpa alasan yang jelas. 

Apandi dalam responnya kepada media sebelum ini berkata prosiding tersebut tidak dibatalkan tetapi beliau enggan memberikan butiran lanjut alasan “penangguhan” tersebut. 

Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam yang membuat aduan salah laku Hishammuddin petang tadi hadir di pejabat Umno selepas menerima arahan daripada lembaga disiplin supaya menghadiri prosiding.

Lembaga Disiplin Umno meminta Hishammuddin hadir ke pejabat Umno bagi menjawab dakwaan tidak mengikut perintah parti, tidak menjalankan dasar parti, serta tidak menjaga nama baik dan maruah parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2019.
Lembaga Disiplin Umno meminta Hishammuddin hadir ke pejabat Umno bagi menjawab dakwaan tidak mengikut perintah parti, tidak menjalankan dasar parti, serta tidak menjaga nama baik dan maruah parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2019.

Selepas tiada tanda-tanda prosiding petang tadi akan diteruskan, Lokman meluahkan rasa kecewa kerana ada usaha untuk menyekat Lembaga Disiplin Umno menjalankan siasatan secara bebas. 

Tanpa berselindung, Lokman menamakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai individu yang menghalang siasatan tersebut. 

Jelasnya, beliau hadir ke pejabat Lembaga Disiplin Umno hari ini setelah mendapat panggilan daripada Apandi dua hari lalu.

“Jawatankuasa disiplin parti sepatutnya bebas. Mereka ini tidak boleh diarahkan,” katanya.

Lokman turut mencadangkan agar ahli lembaga disiplin letak jawatan sekiranya merasakan mereka sudah tidak dapat berperanan lagi sebagaimana yang sepatutnya.

“Kalau mereka ini merasakan bahawa tugas mereka telah dihalang oleh presiden parti, saya mencadangkan mereka semua meletakkan jawatan ini cara yang paling terhormat,” katanya.

Beliau juga mendakwa sudah dua kali siasatan terhadap Hishammuddin, yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong, dihalang oleh pucuk pimpinan parti. 

Lokman pada 30 Oktober lalu membuat laporan kepada Lembaga Disiplin mengenai penglibatan Hishammuddin yang dikatakan memujuk Ahli Parlimen Umno untuk masuk Bersatu.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Zahid memaklumkan kepada para ketua bahagian bahawa Setiausaha Agung Umno Annuar Musa telah meminta Apandi menarik balik surat tunjuk sebab tersebut kerana “isu tersebut sudah selesai”. 

Tinggalkan komen anda