Umno pinda perlembagaan gugur ahli tidak setia, lompat parti


shadow

MANA-MANA wakil rakyat Umno yang didapati ‘tidak setia’ atau ‘lompat parti’ sejurus menang pada pilihan raya peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan serta-merta digugurkan keahliannya.  

Pengguguran tersebut termaktub dalam Pindaan Perlembagaan Umno, dan tindakan tersebut turut terpakai ke atas ahli yang bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya.

Ia antara 12 usul pindaan yang dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan Umno Mohamed Khaled Nordin, dalam sesi tertutup dan diluluskan sebulat suara perwakilan ketika Perhimpunan Agung Umno 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Seseorang yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya,” menurut lampiran pindaan yang dimuat naik dalam laman web Umno Online.

Sebelum ini, fasal berkenaan hanya menyebut ahli yang bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya akan dipecat dan tidak boleh diterima balik sebagai ahli selama-lamanya.

Selain itu, pindaan perlembagaan turut menyentuh mengenai Pergerakan Wanita Umno ditukar kepada Wanita Umno​​​​​​, Ketua Pergerakan Wanita Umno akan dikenali sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia, Ketua Pergerakan Pemuda akan dikenali sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Ketua Pergerakan Puteri akan dikenali sebagai Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia.

Apa yang menarik dalam usul pindaan tersebut ialah kepimpinan Wanita Umno yang ‘dinaik taraf’ seiring dengan jawatan timbalan presiden parti. 

Difahamkan meskipun jawatan Ketua Wanita Umno setaraf timbalan presiden, namun ia tidak boleh menggantikan timbalan presiden. Keahlian Wanita Umno kini telah mencecah 1.2 juta orang.

Susulan pindaan itu, ia sekali gus mengurangkan jawatan naib presiden daripada enam kepada lima orang sahaja termasuk Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno. 

Pindaan juga menyentuh mengenai Majlis Tertinggi (MT) yang ditukar kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) manakala Badan Perhubungan Umno Sabah dikenali sebagai Umno Sabah.

Pindaan juga membuka keahlian kepada anak negeri Sabah dan Orang Asli berbanding warganegara Malaysia berbangsa Melayu atau Bumiputera sebelum ini, selain menurunkan usia keahlian daripada 18 kepada 16 tahun, 

Turut dipinda ialah berkenaan mana-mana individu yang ingin menjadi ahli bersekutu Umno boleh memohon secara terus dalam talian. Sebelum ini permohonan pendaftaran sebagai ahli biasa hendaklah dikemukakan kepada jawatankuasa cawangan yang dikehendaki menerima dan meluluskan permohonan tersebut.

Tinggalkan komen anda