Dr M: Mereka yang kata PH tanpa hala tuju tak terima realiti


shadow

Kumpulan yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan sebagai tanpa hala tuju, sebenarnya adalah mereka yang tidak mahu mengakui realiti, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sebagai contoh katanya, kerajaan telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, berjaya membayar hutang negara yang besar dan mempunyai rizab Bank Negara serta aset asing yang sangat besar.

“Kita tahu hala tuju kita. Orang luar mungkin tidak. Tetapi kita tahu.

“Tuduhan bahawa kerajaan PH terumbang-ambing dibuat oleh mereka yang enggan mengakui realiti.Iklan

“Adakah kita sama seperti Malaysia di bawah kerajaan terdahulu? Atau adakah mereka mengatakan bahawa mereka lebih suka kerajaan kleptokrasi ?” soal Mahathir dalam hantaran di blog hari ini.

Beliau berkata kerajaan PH jelas tentang apa yang mereka mahu lakukan dan bagaimana untuk melakukannya, tetapi rancangan itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun atau lebih untuk dilaksanakan.

“Bagi pemerhati, seolah-olah tidak ada yang dilakukan. Rom bukannya dibina dalam satu hari,” katanya.

Malah, menurut beliau, peralihan Malaysia dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi perindustrian juga mengambil masa.

Peralihan ini berlaku pada tahun-tahun awal penggal pertama Mahathir sebagai perdana menteri pada tahun 1980-an.

Beliau berkata ramai yang tidak dapat mengingati tempoh masa peralihan itu, manakala golongan muda pula tidak pernah melihatnya.

“Kebanyakan mereka dilahirkan selepas peralihan tercapai. Sukar untuk membayangkan Malaysia sebagai negara pertanian hari ini.

“Perkara yang sama berlaku sekarang. Peralihan mengambil masa – mungkin dua tahun atau lebih mulai sekarang, tetapi percayalah ia akan berlaku,” katanya.

Malah peralihan itu sudah berlaku dalam beberapa cara, katanya, sambil menunjuk kepada perubahaan kepada masyarakat tanpa kertas dan tanpa tunai, serta digitalisasi dan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

“Malah bagi saya, begitu mengecewakan untuk menunggu, tetapi kita mesti tunggu.

“Jentera kerajaan telah dibersihkan dan dengan cepat sedang menyesuaikan diri dengan cara-cara bekerja yang baru.

“Malah para menteri juga sedang menyesuaikan diri untuk berada di dalam kerajaan dan bukan menjadi pembangkang,” kata Mahathir.

Beliau berkata kerajaan semasa tidak mencuri wang atau memohon pinjaman untuk wang untuk menyogok orang ramai.

Kerajaan PH, katanya, hanya membelanjakan apa yang mereka miliki, walaupun mereka mempunyai sedikit wang.

Mereka cuba untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan supaya rakyat mempunyai lebih banyak wang, tetapi Mahathir berkata, rakyat mesti bersedia untuk merebut peluang itu.

“Kita melakukan semua ini. Tetapi kita tidak berjaya menarik perhatian mereka.

“Apabila tiba waktunya, mereka akan jelas menyumbang kepada ekonomi negara.

“Berikan kerajaan sedikit masa dan sertai dalam dasar kemakmuran bersama, dan dalam masa dua tahun kamu akan menyedari bahawa cara kerajaan adalah betul,” katanya.

Tinggalkan komen anda