Kerajaan timbang cadangan tribunal khas lantik Ketua Pesuruhjaya SPRM


shadow

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menimbangkan cadangan penubuhan satu tribunal khas bagi pelantikan dan pemecatan Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) seperti dipraktikkan bagi melantik dan memecat hakim di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu selaras cadangan supaya urusan pelantikan dan penamatan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat melalui proses Perlembagaan dengan membuat pindaan undang-undang berkaitan.

“Biasanya, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dikemukakan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan perjawatannya. Bagi menggugurkan jawatan itu perlu ada tindakan dan cara-cara tindakan seperti mana di buat ke atas hakim, melalui satu tribunal khas.

“Namun, perkara ini belum kita selesai untuk ditentukan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) siri 11 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri menjelaskan mesyuarat JKKMAR memutuskan supaya satu kajian dibuat bagi mengkaji prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat melalui Perlembagaan.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan campur tangan kerajaan dalam urusan pelantikan serta menjamin ketelusan dan kebebasan Ketua Pesuruhjaya dari pengaruh mana-mana pihak.

Sebelum ini, SPRM mencadangkan pelantikan Ketua Pesuruhjayanya dibuat menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang mana wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang akan menjadikan individu yang dipilih dilihat lebih telus serta tidak cenderung kepada mana-mana pihak.

Dr Mahathir turut memaklumkan kerajaan serius mengambil tindakan cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) yang mana 190 daripada 256 cadangan itu membabitkan skop kerja governans, integriti dan pencegahan rasuah dengan 55 perkara membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, mengenai cadangan dihadkan tempoh dua penggal untuk jawatan Perdana Menteri, yang masih tidak dapat dilaksanakan kerana perlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Ketika ini kerajaan sukar laksanakan kerana tiada sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen, sebab itu menjadi lambat dan kita berusaha mempercepatkannya dan kerajaan serius dalam isu berkaitan integriti, governan dan pencegahan rasuah,” katanya.

Mesyuarat turut bersetuju mengenai cadangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menangani isu penyelewengan dokumen pengenalan diri membabitkan warga asing melalui menaik taraf sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) JPN dengan penggantian aplikasi, perisian, perkakasan dan peralatan; penarafan semula JPN sebagai agensi berisiko tinggi serta memperkasakan Unit Integriti di jabatan itu.

“JPN juga bersetuju memperkasakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN dengan meningkatkan peralatan operasi perisikan, infrastruktur, sistem perjawatan dan kemahiran. Elemen biometrik dimasukkan ke dalam semua dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh JPN,” katanya.

Tinggalkan komen anda