KPKT benarkan ruang khas merokok disediakan


shadow

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membenarkan pemilik restoran atau kedai makan, sama ada milik persendirian atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menyediakan kawasan khas merokok di luar premis, pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter dari meja makan terdekat.

Bagaimanapun kawasan khas merokok terbabit, yang disediakan tempat membuang puntung rokok itu, tidak boleh dijadikan ruang makan dan minum oleh perokok.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata usaha kementerian itu adalah bagi menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan berhubung arahan larangan merokok di semua tempat makan awam sejak 1 Januari lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha itu juga dilaksanakan bagi memahami keperluan golongan perokok dalam memberi ruang mereka melakukan aktiviti itu dalam tempoh ‘peralihan’ peraturan berkenaan.

Susulan larangan itu juga Zuraida berkata, KPKT juga akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 PBT di seluruh negara.

“Bagi pemilik restoran atau kedai makan (persendirian), kita mempunyai garis panduan yang akan dikeluarkan KPKT berhubung perkara terbabit di mana mereka perlu memohon kebenaran daripada PBT untuk membina kawasan khas merokok dalam skala kecil termasuk premis yang berada dalam lot kedai.

“Kawasan khas merokok itu perlu mempunyai bumbung, tempat duduk dan tempat membuang puntung rokok dan mereka boleh membinanya secara berkongsi (jika dalam satu lot bangunan itu terdapat lebih daripada sebuah restoran) dengan kos ditanggung mereka sendiri.

“Namun bagi kawasan awam pula, PBT diminta membuat permohonan peruntukan kepada KPKT untuk menyediakan kawasan khas merokok dengan KPKT memperuntukkan setiap sebuah pembinaan kawasan merokok itu kira-kira RM5,000, ” katanya pada sidang media, di sini.

Sebelum ini, usaha larangan merokok di tempat makan awam menimbulkan persoalan sama ada mereka yang merokok di meja tambahan tanpa lesen di luar restoran atau premis makanan boleh terlepas daripada tindakan saman.

Malah, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye juga sebelum ini memberitahu bahawa kedai makan atau restoran tidak dibenarkan sama sekali menyediakan ruangan khas merokok kepada pelanggan di premis terbabit.

Pada masa sama Zuraida berkata, sehingga kini KPKT sudah mempunyai satu model kawasan khas merokok dibina di Senario Ampang, dekat sini yang mempunyai dua pondok (booth) kawasan merokok dengan kelengkapan bumbung, tempat duduk dan tempat membuang puntung rokok.

Beliau berkata, usaha menyediakan atau membenarkan kemudahan kawasan merokok ini juga diyakini mampu memberi keselesaan buat golongan perokok bagi menerima peraturan baharu itu.

Ketika ditanya sama ada kebenaran yang diberikan ini mampu memberi isyarat yang salah dengan peraturan dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Zuraida bagaimanapun berkata ia menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa bekerjasama dengan setiap kementerian dan ia seharusnya dilihat dalam sudut positif.

“Buat masa ini kita hanya menyarankan pemilik restoran atau kedai makan untuk membina kawasan khas merokok itu namun kita mungkin akan mewajibkan mereka berbuat demikian jika tiada kawasan langsung untuk pelanggan melakukan aktiviti berkenaan…pemilik harus melabur sedikitlah.

“Kita hanya memudahkan golongan perokok yang mewakili kira-kira 20 peratus populasi di Malaysia ini apatah lagi mereka juga adalah pembayar cukai, ” katanya.

Tamat….

Tinggalkan komen anda