MPP PKR digesa tidak pilih kasih


shadow

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dipersoal kerana didakwa bersikap pilih kasih dan prejudis terhadap pemimpin yang dikatakan lantang bersuara menegur kelemahan pucuk kepemimpinan parti termasuk Presiden parti.

Ketua Penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah menyifatkan tindak-tanduk ditunjukkan pemimpin parti itu sebagai bertentangan dengan hak kebebasan dan demokrasi dilaungkan selama ini.

Beliau yang dikenali sebagai Ratu Naga berkata, ia dilihat bertentangan dengan pendirian PKR yang mengamalkan kebebasan kepada ahli dan pemimpin untuk mengemukakan pandangan mereka walaupun berbeza pendapat.

“Mengapa berlaku ‘double standard’ dalam isu kebebasan bersuara? Bukankah ia hak setiap ahli dan pimpinan untuk meluahkan pendapat tanpa prejudis?

“Jika seseorang pemimpin atau ahli parti bersuara menyatakan pandangan yang tidak secocok dengan kita, adakah perlu kita mengambil tindakan terhadap individu terbabit?

“Tetapi jika pendapat itu sesuatu yang sedap untuk hati kita walaupun tidak tepat dan benar, kita merelakan ia begitu saja?

Di manakah hak kebebasan dan demokrasi dilaungkan selama ini, adakah kita sama seperti zaman Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak yang pecat dan penjara jika bersuara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul sebelum ini dilaporkan berkata, mesyuarat bersama 11 Pengerusi PKR negeri kelmarin bersetuju menuntut Zuraida dipecat daripada parti atas alasan secara terang-terangan menghina Presiden, pemimpin parti dan tidak patuh kepada undang-undang parti.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga menyifatkan PKR tidak perlu ‘menyimpan’ pemimpin seperti Zuraida.

Syarul Ema Rena turut mempersoal pendirian Johari dan ahli MPP yang dilantik kerana tidak bersuara apabila Naib Presiden dilantik, Rafizi Ramli, yang juga tidak pernah hadir mesyuarat parti.

“Kenapa saya tidak dengar langsung ‘bunyi’ mereka yang anti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida mendesak Naib Presiden ini meletak jawatan,” katanya.

Beliau turut menegur Johari supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan dalam parti ketika negara perlu menumpukan usaha pemulihan.

“Kita adalah cermin kerajaan pemerintah, kelakuan dan tindak tanduk kita mewakili imej kerajaan. Sudah hampir dua tahun menjadi pemerintah, asyik nak bercakaran mengejar jawatan dan kedudukan.

“Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis menjadi isyarat rakyat bosan dan muak jika setiap hari disajikan cerita perebutan jawatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengingatkan pemimpin yang terpilih menjadi MPP pada pemilihan parti sebelum ini supaya tidak bermegah dengan keputusan perwakilan ketika itu.

“Sokongan akar umbi dalam parti tidak boleh dinilai mengikut statistik pemilihan lalu. Parti kita melalui pelbagai dugaan tahun lalu dan diperlihatkan sokongan terhadap Presiden yang semakin utuh.

“Pengerusi PKR negeri mewakili suara akar umbi, jadi jangan hendak bermegah dengan keputusan pemilihan lalu kerana akar umbi jelas menolak kalian,” katanya.

Tinggalkan komen anda