Pemilihan BERSATU: Muhyiddin, Menteri Besar Johor menang


shadow

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengekalkan jawatan Ketua Bahagian BERSATU Pagoh apabila tidak dicabar sehingga pencalonan ditutup petang semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal juga menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pagoh apabila tidak ditentang sesiapa bagi jawatan berkenaan.

Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang pula berdepan saingan tiga penjuru untuk jawatan Ketua Bahagian BERSATU Tebrau.

Mazlan ditentang Timbalan Ketua Bahagian Tebrau, Saiful Ahmad dan Ketua Srikandi Tebrau, Noorlihan Ariffin.

Sementara itu, Pengerusi Pemilihan BERSATU Johor, Ahmad Daud berkata, semua 26 bahagian di negeri ini layak mengemuka pencalonan bagi pemilihan yang diadakan buat pertama kalinya.

“Sehingga jam 7 malam tadi, borang pencalonan daripada 16 sudah diterima, manakala borang pencalonan 10 bahagian lagi masih belum diterima membabitkan kawasan Johor Utara termasuk Pagoh, Ledang, Sekijang, Bakri dan Batu Pahat.

“Kira-kira 80 peratus bahagian menyaksikan pertandingan tiga penjuru, manakala dua bahagian berdepan pertandingan lima penjuru,” katanya.

Tinggalkan komen anda