PKR tak perlu sibuk isu peralihan kuasa, kata Adun parti


shadow

PEMIMPIN PKR perlu menumpukan usaha membela nasib rakyat dan bukannya pada soal peralihan kuasa, kata seorang Adun parti itu, Dr Afif Bahardin.

Katanya, isu peralihan kuasa itu bukan masalah utama dihadapi rakyat kerana jawatan berkenaan sememangnya akan diserahkan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Rakyat tidak langsung mengambil peduli bilakah tarikh yang jelas akan berlakunya perubahan dan peralihan kuasa.

“Ini berdasarkan kajian yang dijalankan pada November 2019 oleh KRA Group yang menunjukkan bahawa 70% rakyat tidak memberi perhatian khusus kepada isu peralihan kuasa.

“Hal ini demikian kerana rakyat lebih memberi perhatian kepada isu berkaitan kos sara hidup mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tuntutan Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad agar tarikh peralihan kuasa ditetapkan segera.

Tuntutan itu timbul selepas Ahli Parlimen Bersatu Maszlee Malik meletak jawatan menteri pendidikan berkuatkuasa semalam.

Mengulas lanjut, Adun Seberang Jaya itu berkata PKR dan Pakatan Harapan perlu membetulkan semula niat untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak bermain politik.

“Hentikan segera permainan politik yang sama sekali tidak akan menguntungkan rakyat yang telah memberikan kita kepercayaan dan amanah bagi menunaikan harapan dan aspirasi mereka,” katanya.

Katanya peralihan kuasa itu juga akan berlaku pada masa, lokasi dan keadaan politik yang tepat dan stabil untuk Anwar menerajui negara seperti yang dijanjikan Dr Mahathir.

Dr Mahathir pada 10 Disember lalu menyatakan komitmen untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) tahun ini.

Tinggalkan komen anda