Bekas ketua puteri Umno tewaskan Redzuan


shadow

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Redzuan Md Yusof gagal mempertahankan kerusi Ketua Bersatu Masjid Tanah apabila tewas kepada bekas ketua puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah diumumkan menang jawatan itu setelah berjaya meraih 414 undi.

Memetik laporan Berita Harian, keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU negeri, Shamsir Harun, pada jam 1.15 pagi tadi.

Mohd Redzuan dilantik sebagai Ketua Penaja Bersatu Bahagian Masjid Tanah pada 2018 pula mendapat 328 undi, manakala seorang lagi calon jawatan itu, A Lokman Abdul Ghani memperoleh 228 undi.

Mas Ermieyati berkata, tugas pertamanya ialah melaksanakan proses pemantapan pasukan melalui program pemukiman bertujuan menjelaskan kepentingan bekerja secara berpasukan.

“Insya-Allah, saya akan menyusun semula pasukan bagi memperkukuh parti supaya berfungsi sebagai penyatu bangsa dan berjuang untuk manfaat bersama,” katanya ketika ditemui selepas pengumumkan keputusan dibuat.

Jelasnya, beliau akan melaksanakan kempen mempertingkat keahlian parti pada peringkat akar umbi dengan menyusun strategi dan program yang mampu menarik minat belia serta golongan dewasa.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula, ia dipertahankan oleh penyandangnya, Nazri Ramli, sementara Naib Ketua Bahagian ialah Rozamri Kambol.

Jawatan Ketua Armada dimenangi Abdul Iman Jamaluddin, manakala Zafaizah Ablah muncul Ketua Srikandi.

Sementara itu, Mas Ermieyati dalam satu kenyataan berkata beliau akan mempertaruh dan menggunakan segala ilmu serta pengalaman yang dimiliki untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada warga Masjid Tanah dan akar umbi Bersatu di bahagian itu.

Beliau berkata ia bagi merealisasikan hasratnya menjadikan Bersatu khususnya Bahagian Masjid Tanah sebagai parti yang bertunjangkan akar umbi.

“Syukur atas kemenangan ini dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong dan mereka yang telah mengundi saya, jentera dan sukarelawan yang telah membantu bukan hanya saya tetapi seluruh pasukan untuk pemilihan kali ini.

“Saya akan bekerja dengan lebih kuat bersama-sama dengan rakan akar umbi agar Bersatu Masjid Tanah terus bergerak merangkumi segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Mas Ermieyati berkata jawatankuasa bahagian itu akan segera dibentuk bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat kawasan Masjid Tanah.

“Saya juga akan melaksanakan kursus pembinaan pasukan untuk semua ahli jawatankuasa bahagian Armada dan Srikandi serta cawangan bahagian Masjid Tanah bagi mengeratkan silaturahim atau ukhwah antara kami serta sumbang saran untuk menetapkan pergerakan dan hala tuju bahagian ini bagi sesi 2019-2021,” katanya.

Tinggalkan komen anda