Daim tolak idea penubuhan ‘Pakatan Nasional’


shadow

Bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, menyuarakan penolakannya terhadap gesaan agar Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, membuat pakatan baru dengan PAS dan Umno mewujudkan Pakatan Nasional.

Daim – yang dikenali sebagai penasihat Mahathir – berkata pengundi sudah memberikan mandat kepada kerajaan sekarang, justeru keutamaan PH sepatutnya ialah mengembalikan keyakinan rakyat.

Bercakap kepada Sin Chew Daily, Daim berkata, rakyat mahukan kebajikan mereka dibela dan kerajaan pula menjadi stabil serta kukuh.

Ketika ini, kata bekas ahli parlimen Merbok itu, beliau percaya keyakinan rakyat kepada kerajaan adalah rendah kerana ia kelihatan tidak bersatu padu.Iklan

Isu Pakatan Nasional muncul sejurus selepas ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, mendedahkan wujudkan usaha presiden parti itu, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendapatkan sokongan bagi bekerjasama dengan Mahathir.

Ia berlaku ketika isu peralihan kuasa perdana menteri daripada Mahathir kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, semakin banyak diperkatakan.

Pendedahan itu dianggap menggagalkan rancangan menyekat Anwar daripada mengambil alih kerajaan, dan menyaksikan Lokman dipecat daripada Umno.

Pada masa sama PAS pula gigih menggerakkan kempen membawa usul percaya kepada Mahathir di Dewan Rakyat untuk mendesak agar ahli parlimen Langkawi itu kekal sebagai perdana menteri sehingga mandat yang diperolehi PH pada 2018 berakhir pada 2023.

Komunikasi sangat teruk

Penganalisis melihat langkah PAS itu adalah usaha terdesak parti terbabit menghalang Anwar dilantik sebagai perdana menteri.

Sesetengah pihak pula mendakwa Daim adalah antara orang yang tidak mahu Anwar menggantikan Mahathir.

Anwar berkata, Mahathir tidak terlibat dalam gerakan itu dan bersetuju penyerahan jawatan perdana menteri dilajukan selasas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) berakhir pada hujung Nov ini.

Menurut Daim apa yang perlu dilakukan kerajaan ketika ini ialah berhenti daripada menyalahkan kerajaan BN sebelum ini semasa mentadbir negara.

“Kita perlu bergerak ke depan dan membangunkan negara ini secara berterusan. Kerajaan mesti mengatasi semua masalah yang boleh diselesaikan (sekarang),” katanya.

Anggota kabinet pula, kata Daim, mesti menunjukkan prestasi yang baik kerana beliau sendiri menerima banyak aduan mengenai menteri yang angkuh serta tidak mempedulikan pandangan rakyat.

“Saya tahu rakyat tak puas hati. Mereka anggap sesetengah menteri sekarang dah jadi angkuh dan tak lagi mahu mendengar.

“Kepada mereka, menteri-menteri yang ada sekarang mestilah menjadi orang yang sama semasa mereka jadi pembangkang, iaitu mudah didekati.

“Mengapa mereka (menteri) jadi begitu sekarang?

“Mereka tidak pernah menjawab surat dan mengaku terlalu sibuk. Ya, memang mereka ada tanggungjawab yang mesti ditunaikan. Tak salah untuk menteri sibuk, tetapi mereka mesti ingat, mereka dipilih oleh orang ramai untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu Daim juga menggesa kerajaan meningkatkan keberkesanan dalam amalan perhubungan awam bagi menjelaskan pelbagai pembaharuan yang dibawa.

Katanya, hal itu lebih diperlukan lagi untuk perubahan berterusan yang memerlukan masa lebih lama serta rumit.

“Semua menteri ada setiausaha akhbar. Mereka perlu menjelaskan apa yang berlaku kepada media. Masalahnya sekarang ialah, komunikasi mereka sangat teruk,” katanya.

Tinggalkan komen anda