‘OKT’ macam Zahid tidak sesuai pimpin rundingan dengan PM, kata Kadir Jasin


shadow

PETALING JAYA: Wartawan veteran A Kadir Jasin hari ini berkata presiden Umno Zahid Hamidi bukanlah sosok yang tepat untuk memimpin rundingan pelbagai pihak dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini di sebalik khabar angin tentang kemunculan satu pakatan politik yang mendakwa bahawa Mahathir mempelawa PAS dan Umno untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Kadir dalam satu tulisan di laman blognya hari ini antara lain berkata, adalah aneh bagi perdana menteri untuk bercakap perihal politik serius dengan seorang “OKT” (Orang Kena Tuduh).

Bekas timbalan perdana menteri itu kini berdepan 47 pertuduhan di mahkamah, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, 8 tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, Kadir berkata beliau pernah menyebut perkara itu kepada Mahathir dengan bertanyakan sama ada Zahid masih mempunyai sokongan dalam parti untuk berbuat demikian.

“Sejak itu Umno telah dilanda krisis. Beberapa ahli Majlis Tertingginya menentang idea itu dan berkata bahawa Zahid bukanlah orang yang tepat untuk terlibat dalam sebarang perbincangan dengan Mahathir,” katanya.

Terdahulu Mahathir menafikan beliau mempelawa Umno dan PAS untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru.

Beliau berkata, banyak spekulasi dibuat berikutan keterbukaanya untuk berjumpa dengan semua pihak, termasuk pemimpin pembangkang.

Beberapa pertemuan tertutup antara Mahathir dengan presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini dilihat sebagai antara petunjuk tentang kemungkinan berlakunya jajaran baru politik di luar kerjasama Pakatan Harapan (PH) yang bakal meminggirkan DAP dan presiden PKR Anwar Ibrahim.

Tinggalkan komen anda