Syed Saddiq pegang jawatan ketua Bersatu Muar


shadow

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kini mengetuai Bersatu Muar selepas dipilih anggota parti itu menggantikan penyandang, Shahruddin Md Salleh yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Syed Saddiq berkata tanggungjawab yang digalasnya kini adalah cukup berat.

“Terima kasih diucapkan kepada banyak pihak yang membantu dan memainkan peranan penting terhadap kemenangan ini.

“Ramai watak di sebalik tabir yang memungkinkan kejayaan ini, terutamanya ahli parti Bersatu di Muar, dan Johor amnya.

“Sebagai antara ketua bahagian termuda, tanggungjawab yang bakal digalas sangat berat. Kekuatan akar umbi hingga ke peringkat pusat perlu diperkasa, dan segala gerak kerja parti perlu terus diperkukuh.

“Saya mahukan Muar yang aman, damai dan menyenangkan untuk penduduknya, dalam masa yang sama berpotensi untuk menjadi maju dan mampu memberi kehidupan yang berkualiti kepada para penduduknya,” katanya.

Pada pemilihan itu juga Syed Saddiq turut mempertahankan jawatan selaku ketua pemuda Bersatu Muar.

Sementara itu, bekas exco kerajaan Terengganu, Khazan Che Mat, pula memenangi jawatan ketua bahagian Kuala Nerus.

Menurut laporan BH, Khazan – yang juga bekas Adun Batu Rakit – menewaskan bekas pegawai khas Anggota Parlimen Kuala Nerus, Mohd Jamil Mohd Ali dalam pertandingan satu lawan satu pada pemilihan parti semalam.

Hamid Yahya yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Nerus turut memenangi jawatan itu selepas mengetepikan Mohd Zaki Ismail pada pertandingan satu lawan satu.

Bagi jawatan naib ketua bahagian, Tengku Badrul Alam Tengku Abdul Rashid menewaskan Mohd Daud Abd Jalil.

Tinggalkan komen anda