UMNO akan bincang usul sokong perdana menteri


shadow

KUALA LUMPUR: UMNO akan membincangkan pendirian parti mengenai usul persendirian yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perincian mengenai usul yang bakal dibentangkan PAS itu sudah dimaklumkan dalam mesyuarat, malam ini.

Sehubungan itu, katanya, ia akan diperhalusi kepemimpinan tertinggi UMNO sebelum sebarang pendirian rasmi dikemukakan kepada umum.

“Ada dibentangkan PAS tadi. Kita pun nak tahu apa bendanya. UMNO ambil maklum, dan kita akan bincang juga di peringkat parti bila sampai masanya.

“Usul itu belum dibawa lagi. Justeru saya di peringkat UMNO, akan bawa apa yang dimaklumkan PAS di peringkat parti kita.

“Bila benda itu berlaku, kita akan buat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato’ Onn selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim, pada Sabtul lalu dilaporkan berkata, usul menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad itu perlu dalam menangani kemelut peralihan kuasa ketika ini yang dikatakan berupaya ‘mengganggu kestabilan politik dan ekonomi’.

Hasrat mengemukakan usul persendirian mewakili blok pembangkang itu bagaimanapun mendapat kritikan, selain dipersoalkan pelbagai pihak yang menyifatkan ia hanya sebagai cakap politik.

Ditanya sama ada mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam turut membincangkan soal ‘Pakatan Nasional’, Mohamad berkata, ia tidak dibangkitkan.

“Tidak tahu pula saya. Kita tidak pernah bincang pasal Pakatan Nasional. Kita pasal muafakat nasional saja,” katanya.

Mohamad berkata, rapat umum untuk membincangkan hala tuju muafakat nasional dan mempersiapkan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Susulan ketidaktentuan suhu politik negara, beliau berkata, PRU-15 berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa tanpa kerajaan sedia ada menghabiskan penggal penuh selama lima tahun pemerintahannya.

“Kita mahu bersedia dari sekarang sebab bila-bila pun PRU-15 boleh jadi,” katanya.

Tinggalkan komen anda